KesihatanNasional

Covid-19: Elak kluster Aidiladha, rentas negeri

KES baharu Covid-19 hari ini ialah 12,528 kes. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai agar mengelakkan diri dari menjadi korban akibat pandemik ini.

Menurut kenyataan KKM, kluster kunjung mengunjung dan kluster rentas negeri semasa perayaan hari raya Aidiladha harus dielakkan.

“Bermula 1 Jun 2021 iaitu sejak permulaan pelaksanaan “Total lockdown” sehingga data terkini 16 Julai lalu, sebanyak 267 kluster komuniti dengan jumlah 17,106 kes positif Covid-19 telah dilaporkan oleh KKM.

“Kes-kes tersebut dikesan daripada sejumlah 72,755 individu yang disaring (kadar positiviti 23.5 peratus) melalui Active Case Detection (ACD) yang dijalankan di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) secara berterusan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan yang sama hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah 17,106 kes tersebut, 105 kematian telah dilaporkan sehingga kini dan 42 kes sedang mendapatkan rawatan di ICU.

“Kluster-kluster komuniti ini tercetus susulan sambutan majlis perayaan yang lalu (Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai), aktiviti kunjung-mengunjung di kawasan kejiranan atau kampung, perjumpaan antara ahli keluarga dari rumah-rumah yang berlainan serta majlis pengebumian.

“Beberapa kluster komuniti ini turut melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan yang disebutkan di atas,” ujar beliau.

Sehubungan itu, KKM juga ingin menzahirkan kekhuatiran berkaitan 21 kluster yang didapati tercetus akibat aktiviti merentas negeri (Import B).

“Dalam tempoh 1 Jun 2021 sehingga 16 Julai 2021 sahaja sebanyak 1,010 kes positif Covid-19 telah dilaporkan dalam 21 kluster ini iaitu daripada 5,681 individu yang disaring (kadar positiviti 17.8 peratus).

“Kluster-kluster ini didapati melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan sambutan perayaan, mengunjungi ahli keluarga, menghadiri majlis pengebumian serta atas urusan kerja,” kata beliau.

Negeri-negeri yang melaporkan jumlah kluster rentas negeri tertinggi sejak 1 Jun 2021 adalah Perak dengan lapan (8) kluster (38.1 peratus), Terengganu dengan lima (5) kluster (23.8 peratus) serta Kelantan dengan tiga (3) kluster (14.3 peratus), kata Noor Hisham.

Kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit diabetes atau kanser merupakan kumpulan yang sangat mudah terkesan dengan jangkitan COVID-19.

Sementara itu,  kes kematian Covid-19 hari ini merekodkan catatan tertinggi.

“KKM ingin memaklumkan status terkini kes Covid-19 adalah seperti berikut:
• Kes sembuh : 6,629 kes (779,171 kes kumulatif, 86.0%);
• Kes baharu : 12,528 kes (905,851 kes kumulatif);
• Kes import : 19 kes (13 warganegara, 6 bukan warganegara);
• Kes tempatan : 12,509 kes [9,848 warganegara (78.7%); 2,661 bukan warganegara (21.3%)];
• Kes aktif : 119,814 kes;
• Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU): 908 kes;
• Kes memerlukan bantuan pernafasan : 425 kes;
• Kes kematian : 138 kes (6,866 kes kumulatif, 0.76%; 128 warganegara, 10 bukan warganegara);
• Jumlah kluster : 3,233 kluster;
• Jumlah kluster baharu : 28 kluster;
• Jumlah kluster yang telah tamat : 2,327 kluster; dan
• Jumlah kluster aktif : 906 kluster. Daripada 12,528 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 6,840 kes (54.6 peratus) adalah daripada kategori 1 (tidak bergejala), 5,468 kes (43.6 peratus) kategori 2 (bergejala ringan), 112 kes (0.9 peratus) kategori 3 (radang paru-paru), 44 kes (0.4 peratus) kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), dan 64 kes (0.5 peratus) kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan).

Noor Hisham memberitahu, 138 kes kematian yang dilaporkan hari ini melibatkan 46 kes di Selangor, 20 kes di Negeri Sembilan, masing-masing 16 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor, 12 kes di Pahang, 11 kes di Melaka, tujuh (7) kes di Kedah, empat (4) kes di Perak, tiga (3) kes di Pulau Pinang, dua (2) kes di Terengganu, dan satu (1) kes di Sabah. – SM

(Visited 173 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button