Nasional

Dr. Noor Hisham rayu lebih ramai sertai sukarelawan bantu KKM

KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menyeru agar lebih ramai rakyat Malaysia untuk tampil menyertai pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19.

Rayuan itu dibuat berikutan situasi semasa yang memerlukan lebih ramai sukarelawan untuk membantu petugas kesihatan mengekang wabak COVID-19 daripada terus merebak.

Menurutnya, sehingga hari ini seramai 157 sukarelawan telah menyertai  pasukan sukarelawan dan mereka  ditempatkan secara berperingkat dan bertugas untuk membantu pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19.

Dr. Noor Hisham berkata, sejumlah 1,008 orang lagi bakal menyertai pasukan perubatan di hospital, iaitu mereka  yang terdiri daripada pelbagai profession perubatan.

“KKM ingin memaklumkan bahawa pihak KKM mengalu-alukan perkhidmatan sukarelawan kesihatan dan perubatan dalam menangani penularan kejadian COVID-19 di Malaysia.

“Mengambil kira situasi semasa, KKM menyeru lebih ramai sukarelawan dapat tampil menyertai pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19 dengan mengisi Borang Pendaftaran Anggota Sukarelawan Pasukan Bantuan Kesihatan Dan Perubatan COVID-19,” katanya.

Borang boleh didapati di Facebook dan laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada ketika ini banyak pihak juga tampil membantu memerangi wabak Covid-19 ini secara sukarela.

Ini ter,asuk Bengkel jahitan Penjara Penor di Kuantan yang hanya ‘mengendalikan’ tempahan paling penting buat masa ini, iaitu peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas kesihatan yang mengendalikan pesakit COVID-19.

Bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang setiap hari, seramai 18 banduan yang ditempatkan di bengkel itu akan bertungkus-lumus mengukur, memotong dan menjahit PPE yang diperbuat daripada material khas berwarna biru.

Pengarah Penjara Penor Datuk Abu Hasan Hussain berkata mereka menerima 2,000 meter material berkenaan bagi menghasilkan PPE yang memerlukan lima meter bagi sepasang PPE ‘dari hujung kepala ke hujung kaki’.

“Bengkel kami mula menjahit PPE pada Jumaat lepas dan setiap hari kami boleh menghasilkan lebih 20 pasang PPE yang akan terus dihantar ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang untuk diagihkan kepada Jabatan Kesihatan negeri.

“Buat masa ini, bengkel jahitan turut beroperasi pada Sabtu dan Ahad berbeza daripada kelaziman kerana menyedari keperluan mendesak terhadap PPE ekoran peningkatan jumlah pesakit COVID-19,” katanya semasa ditemui Bernama di sini, hari ini.

Abu Hasan berkata beberapa kakitangan penjara telah mengikuti taklimat pembuatan PPE pada 25 Mac, bagi memastikan PPE yang dihasilkan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) pihak kesihatan. -SM

(Visited 370 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button