Sukan

5 penerjun negara jalani latihan di China kembali tanpa jangkitan coronavirus

LEGA! Sepatah perkataan sahaja yang dapat diucapkan apabila skuad terjun negara yang menjalani latihan di China, kembali ke tanah air semalam dalam keadaan bebas daripada coronavirus, epidemic yang menular dan mengancam penduduk bumi masa kini.

Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum), Mae Chan berkata, kesemua penerjun dan jurulatih disahkan bebas daripada jangkitan virus pembunuh itu.

Beliau memberitahu, mereka semua balik dalam keadaan sihat, tidak demam atau batuk dan mereka dihantar ke Institut Sukan Negara (ISN) untuk pemeriksaan kesihatan lanjut.

“Mereka tidak akan kembali ke China sehinggalah keadaan di negara itu kembali pulih seperti sediakala,” katanya kepada BERNAMA.

Memetik laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT), Mae Chan berkata, langkah pencegahan dilaksanakan ke atas penerjun negara ketika mereka berada di China termasuk memeriksa suhu badan setiap hari.

Penerjun negara yang menjalani latihan di China baru-baru ini terdiri daripada lima orang iaitu Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee, Kimberly Bong dan Enrique Harold manakala dua orang jurulatih yang berada bersama lima penerjun negara ialah Li Rui dan Li Teng.

Namun begitu, juara dunia 2017, Cheong Jun Hoong pula masih berada di China bagi menjalani latihan bersama bekas jurulatih kebangsaan, Yang Zhuliang di provinsi Qinhuangdao.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Ahmad Shapawi Ismail pula berkata, Jun Hoong belum lagi memberi kata putus tarikh beliau akan kembali ke Malaysia.

Setakat ini, kata Ahmad Shapawi, Jun Hoong masih terus mahu berada di sana dan dia selesa dengan latihan di situ.

“Jarak tempat Jun Hoong menjalani latihan dengan kawasan yang terkesan akibat coronavirus adalah jauh, jadi setakat ini, dia tidak terkesan.

“Walau bagaimanapun, Jun Hoong dan jurulatihnya masih memantau keadaan di sana dan sekiranya keadaan menjadi merisaukan, sudah pasti beliau akan balik. Cuma buat masa sekarang ini dia rasa selesa dan tidak timbul rasa bimbang baginya untuk kekal berada di sana,” ujarnya.

Jika mengikut perancangan awal, Pandelela dan Mun Yee sepatutnya kembali ke tanah air untuk memperbaharui visa mereka pada 2 Februari, diikuti oleh Wendy, Kimberly dan Enrique pada 13 Februari manakala Jun Hoong pula, 14 Mac.

Sehingga artikel ini ditulis, South China Morning Post melaporkan, angka korban akibat coronavirus di China telah meningkat kepada 259 orang dengan 11,791 kes positif disahkan. – SM

(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button