fbpx
Luar NegaraUncategorized

Covid-19: Dalam tempoh 5 minggu, kes lepasi 10 juta di

DALAM tempoh lima minggu, negara Eropah mencatat sekali ganda kes baharu Covid-19 menjadikan keseluruhan kes melepasi 10 juta semalam.

Menurut statistik Reuters, pada akhir bulan Oktober lalu, Amerika Latin dan Asia melaporkan lebih 10 juta kes keseluruhan di rantau masing-masing. Manakala Amerika Syarikat mencatat lebih 9 juta kes dengan penularan semakin cepat.

Menurut analisis Reuters, walau pun Eropah mengambil masa hampir sembilan bulan untuk mencatatkan 5 juta kes Covid-19 pertamanya, 5 juta kes berikutnya hanya dilaporkan lebih sebulan.

Jumlah penduduk di Eropah yang terdiri daripada 10% populasi dunia dan rantau itu menyumbang kira-kira 22% daripada keseluruhan 46.3 juta kes Covid-19 di seluruh dunia.

Dengan lebih 269,000 kematian, rantau itu menyumbang lebih 23% daripada hampir 1.2 juta kematian di seluruh dunia.


Ketika kes Covid-19 semakin meningkat, Perancis, Jerman dan UK mengumumkan sekatan pergerakan di seluruh negara sekurang-kurangnya untuk bulan depan yang tahap ketatnya hampir sama dengan sekatan pergerakan pada Mac dan April lalu.

Portugal melaksanakan sekatan pergerakan separa, manakala Sepanyol dan Itali memperketatkan sekatan.

Analisis Reuters turut memaparkan Eropah melaporkan lebih 1.6 juta kes baharu dalam tempoh seminggu lalu dengan lebih 16,100 kematian, meningkat 44% berbanding minggu sebelumnya.

Bagi setiap 10,000 orang di Eropah, lebih 127 kes Covid-19 dilaporkan dengan kira-kira 4 daripadanya maut. Di AS, terdapat 278 kes dan 7 kematian bagi setiap 10,000 penduduk.

Eropah timur mempunyai hampir 1/3 daripada keseluruhan kes Covid-19 yang dilaporkan, jumlah tertinggi manakala Eropah selatan mendahului jumlah kematian dengan kira-kira 32% daripada keseluruhan kematian di Eropah.

Rusia paling teruk terjejas di Eropah Timur dengan lebih 1.6 juta Covid-19.

Rabu lalu, Timbalan Perdana Menterinya, Tatiana Golikova dilaporkan berkata, kapasiti katil hospital kini mencapai 90% di 16 wilayah di negara itu.

Kerajaan di seluruh Eropah dikritik kurang penyelarasan dan gagal meningkatkan pencegahan terhadap pandemik itu ketika penularan Covid-19 reda pada musim panas sehingga menyebabkan hospital tidak bersiap sedia. – SM

(Visited 32 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button