Luar Negara

COVID-19: Varian Delta seorang pesakit akan jangkiti 9 yang lain

Varian delta yang menular pantas di seluruh Amerika Syarikat boleh mengakibatkan penyakit yang lebih teruk dan mudah menjangkiti antara satu sama lain seperti penyakit demam campak dan cacar air.

Menurut Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) Amerika Syarikat (AS), Dr. Rochelle Walensky, pihaknya mendedahkan satu data dalaman yang melihat orang yang telah divaksin sepenuhnya mungkin dapat menyebarkan varian itu pada kadar yang sama dengan mereka yang belum mendapat suntikan vaksin.

“Saya rasa orang perlu memahami bahawa ini adalah sesuatu yang serius, ia adalah sama seperti satu jenis virus yang paling mudah menular iaitu demam campak,” katanya kepada CNN.

Justeru itu, CDC dijadualkan untuk menerbitkan data bagi menyokong kenyataan kontroversi Walensky untuk mengubah panduan atau pandangan bagi orang yang telah diberi vaksin sepenuhnya.

Beliau pada Selasa lalu memberitahu bahawa CDC mengesyorkan orang yang telah divaksin sepenuhnya perlu terus mengamalkan pemakaian pelitup muka di tempat yang masih lagi diuji dengan pandemik COVID-19.

Walensky turut menambah bahawa semua individu tidak kira sama ada di sekolah – pelajar, kakitangan dan pelawat perlu memakai pelitup muka setiap masa.

“Langkah-langkah yang kita perlukan untuk mengawal varian ini adalah sangat melampau, ia perlukan satu kawalan yang cukup terperinci,” katanya lagi.

Menurut data yang dikaji oleh CDC, sifat penularan varian Delta ini adalah hampir sama seperti demam campak, cacar air yang mana setiap orang yang dijangkiti akan menjangkiti lagi lapan atau sembilan lagi individu lain.

Juga, sekiranya orang yang divaksinasi dijangkiti, mereka mempunyai virus dalam badan mereka sama seperti orang yang tidak divaksinasi.

Ini bermakna, mereka cenderung menjangkiti orang lain seperti orang yang tidak mendapat vaksin.

Bagaimanapun, CDC menegaskan bahawa orang yang divaksin adalah lebih selamat kerana vaksin itu boleh mencegah lebih 90 peratus penyakit yang lebih teruk.

Cuma, ia mungkin kurang berkesan untuk mengelakkan seseorang itu daripada mendapat jangkitan atau membawa jangkitan kepada yang lain.

Untuk itu, CDC dalam dokumen data itu menyarankan bahawa harus kita semua “mengakui bahawa peperangan kita terhadap COVID-19 ini telah berubah kerana dengan pengesyoran untuk mendapatkan vaksin dan pemakaian pelitup muka itulah yang akan menjadi satu kelaziman ketika ini.

(Visited 143 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button