Rencah Hidup

20 tahun hilang nikmat makan dalam penjara

KEGEMBIRAAN tidak terluah dengan kata-kata bagi seorang bekas banduan yang akhirnya dibebaskan apabila menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Lebih mengharukan apabila hari terakhir di penjara, dihidangkan dengan makanan yang enak seperti durian menjadikan detik tersebut paling diingati.

Itulah antara detik pembebasan yang dialami seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 49, apabila dibebaskan pada 17 Ogos lalu.

Permohonan pembebasannya bukan sekali, tetapi lima kali. Namun, empat permohonannya ditolak sehinggalah yang kelima itu beliau terdiam dan mengalir air mata.

Ahmad berkata, pada 16 Ogos, beliau dipanggil pegawai penjara untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan diminta membaca sepucuk surat.

“Apabila tiba pada ayat ‘diperkenankan’ bagi rayuan kali kelima, saya gagal teruskan bacaan dan pegawai meminta saya melakukan sujud syukur.”

Katanya seperti yang dikongsikan kepada Bernama dalam laporannya hari ini.

Sebaik membaca perkataan ‘diperkenankan’, lemah longlai kakinya sehingga terpaksa dipapah oleh pegawai penjara.

Malah, malam terakhirnya beliau tidak dapat tidur membayangkan bagaimana kehidupannya pada keesokan hari selepas 20 tahun berada dalam penjara.

“Saya tak tidur. Saya hanya berbaring atas simen…

“Semua peralatan termasuk tilam, selimut, bekas air dan segalanya telah saya agihkan kepada banduan lain.

“Pada hari terakhir, sebelum melangkah keluar dari pintu besi, saya dibawa berjumpa pegawai penjara.

“Di situlah saya dijamu makan durian. Ia adalah hadiah untuk pembebasan saya.

“Ketika itu jugalah air mata saya mengalir laju. Sudah 20 tahun tidak merasa enaknya buah durian,” luahnya.

Ahmad sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada tahun 2000 selepas didapati bersalah terlibat dengan kumpulan Al-Ma’unah.

Beliau merupakan antara 13 bekas ahli yang dibebaskan selepas mendapat pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Kebangsaan ke-63.

Pada 2000, beliau dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh seketika sebelum dipindahkan ke Penjara Kajang dan ditahan di sana selama lapan tahun.

Kemudian beliau dipindahkan ke Penjara Marang pada 2008 dan dikurung di sana selama 12 tahun sebelum dibebaskan pada 17 Ogos lalu.

Antara nilai positif yang meraih perhatian ramai adalah masa yang digunakannya ketika berada dalam penjara adalah membaca Al-Quran.

Malah, ketika berada di dalam sana, beliau berjaya khatam Al-Quran sebanyak 165 kali. Beliau juga berhasrat mahu meneruskannya ketika kembali ke rumah.

Sebaik sahaja tiba di rumah, Ahmad disambut ahli keluarga dan rakan-rakannya dengan linangan air mata kegembiraan.

Beliau kemudian dihidangkan dengan pelbagai makanan seperti nasi minyak dan sebagainya.

Malah pada sambutan awal Muharam lalu, keluarga turut mengadakan kenduri kesyukuran di surau berhampiran rumahnya sempena menyambut kepulangan beliau.

Dalam pada itu, Ahmad turut menyatakan perancangannya pada masa hadapan.

Beliau memberitahu mempunyai kemahiran membuat perabot dan menggunakannya ketika berada di penjara.

Justeru, beliau juga memaklumkan menerima tawaran untuk bekerja, namun masih belum memutuskan untuk bekerja ataupun tidak.

Ini kerana, beliau mahu menumpukan perhatian kepada keluarganya dan membalas jasa mereka terutama kakaknya yang sering memberi sokongan dan sentiasa melawatnya di penjara.

“Saya benar-benar terharu atas pembebasan ini. Terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya yakin apa yang berlaku ini mempunyai kaitan dengan amalan saya di penjara, termasuk doa yang tidak putus daripada keluarga,” ujarnya. – SM

(Visited 1,834 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button