Luar Negara

Covid-19: Beruntungnya kita…

ANALISIS Oleh Razali Awang Perunding Media Syria Care

ALHAMDULILLAH meskipun menerima impak akibat Covid-19, kebanyakan akitiviti harian rakyat negara ini beransur-ansur kembali seperti biasa.

Tidak dapat dinafikan selepas hampir empat bulan menempuhnya, banyak perkara berubah.

Segala pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP)  bagi mengurangkan risiko jangkitan virus kini menjadi normal baharu.

Pelitup muka, penggunaan sanitasi nyah kuman dan penjarakan sosial antara “benda-benda” baru yang menjadi kebiasaan.

Nun di satu sudut dunia, di satu negara sejak sembilan tahun lalu bergolak, Syria, keadaannya amat jauh berbeza.

Seteruk-teruk keadaan di tempat kita, bantuan berupa bekalan asas masih sampai. Mungkin ada yang tercicir tetapi ia kes terpencil dan tetap menerima sumbangan apabila kisah mereka didedahkan.

Keadaannya jauh sama sekali di Syria. Kisah tidak cukup makan di bumi Syria ini ada di mana-mana.

Bukan sahaja makanan tetapi segala bentuk keperluan asas juga tidak pernah “elok” kerana konflik yang berterusan melanda penduduk Syria.

Pertengahan Jun lepas, pentadbiran White House melaksanakan Akta Caeser dalam usahanya memberi lebih lagi tekanan kepada regim Presiden Bashar al Assad untuk kembali ke meja rundingan dan melepaskan cengkaman politik yang dikuasainya sejak dua generasi lalu.

Melalui akta berkenaan, sekatan ekonomi dan segala yang berkaitan dengan Al Assad dikenakan.

Kesannya, Lira Syrian (LS) jatuh seakan-akan tiada nilai. Ketika itu USD1 bersamaan LS4000.

Namun selepas hampir tiga minggu dikuatkuasa, tiada apapun berubah. Serangan walaupun bukan berskala besar masih dilakukan ke atas kedudukan orang awam di utara Syria.

Paling teruk menerima kesan akibat Akta Caeser adalah orang awam.

Ia hampir mencetuskan krisis kebuluran kerana kenaikan mendadak harga barangan keperluan asas khususnya tepung gandum dan bahan bakar.

Roti yang menjadi makanan ruji, harganya melambung tinggi dan tidak lagi mampu dibeli.

Bagi kebanyakan pertubuhan kemanusiaan, tumpuan diberikan bagi memastikan keperluan itu dihantar segera.

Berikutan keperluan yang mendesak, Syria Care menggerakan kempen Bantuan Kecemasan Roti dan ia kini telahpun diagihkan di kawasan tertentu.

Sebanyak 2 juta keping roti akan diagih-agihkan hasil sumbangan rakyat Malaysia yang bersifat dermawan.

Namun dalam konflik yang tiada penghujungnya ini, sumbangan berterusan amat diperlukan.

Di negara empat iklim ini, derita rakyatnya tiada bermusim. – SM

(Visited 73 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button