fbpx
Nasional

Covid-19: Bantu peniaga kecil, naikkan BR1M, benarkan pengeluaran akaun ke-2 KWSP

KERAJAAN diharap dapat membantu peniaga kecil yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan semalam bagi mengekang penularan virus Covid-19.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peniaga yang terpaksa menutup perniagaan akan kehilangan pendapatan untuk tempoh 14 hari.

“Peniaga-peniaga kecil yang terpaksa hentikan perniagaan mereka untuk tempoh dua minggu di bawah perintah kawalan pergerakan tidak mendapat bantuan, golongan ini patut dibantu juga,” kata Najib.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, kerajaan patut mengambil sekurang-kurangnya RM5 bilion dari Khazanah Nasional Berhad untuk digunakan bagi membayar Bantuan Rakyat 1Malaysia  (BR1M/Bantuan Sara HIdup/BHS)  tambahan khas bagi tahun ini.

“Bayaran BR1M yang lebih besar tahun ini juga boleh membantu peniaga-peniaga kecil dan ekonomi luar bandar yang turut terjejas.


“Adalah tidak masuk akal bahawa kerajaan BN dahulu mampu bayar BR1M sebanyak RM2,000 untuk keluarga dan BR1M bujang RM600 seperti dijanji untuk tahun 2018 tetapi kerajaan hari ini hanya bayar RM1,200 keluarga dan tiada apa-apa untuk bujang di bawah umur 40 tahun bagi tahun ini pada masa ancaman wabak Covid yang amat besar ini,” kata Najib.

Selain itu, Najib turut berharap Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum mengeluarkan wang dari akaun kedua mereka untuk digunakan pada saat yang kritikal ketika ini.

“Sebagai gantirugi dan juga untuk memulihkan simpanan usia tua pencarum yang telah terjejas, kerajaan PN patut memberi peluang kepada KWSP untuk mendapat projek-projek khas yang memberi pulangan besar.

“Seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan BN masa saya Perdana Menteri dengan projek Battersea, projek Kwasa Damansara dan pampasan tahunan kepada PLUS,’ saran Najib.

Selain itu Najib berkata, kerajaan perlu mengkaji semula untuk membatalkan diskaun 2% kepada pengguna elektrik dengan bil melebihi RM400 sebulan dan memberi kadar diskaun yang lebih besar kepada golongan dengan bil di bawah RM400 sebulan.

“Memandangkan kos bahan api arang, gas dan minyak sudah jatuh ke paras yang sangat rendah sejak akihr tahun lepas, kerajaan PN patut mengira semula tarif asas elektrik di bawah formula ICPT.

“Yang biasanya hanya dikira semula pada 1 Jan dan 1 Julai setiap tahun bagi menurunkan tarif elektrik untuk semua seperti apa yang pernah dibuat oleh kerajaan BN dahulu pada 1 Mac 2015 apabila kos bahanapi juga menurun,” kata Najib.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button