fbpx
Nasional

Covid-19: Apa yang berlaku hari ini?

WALAUPUN jumlah kes baharu Covid-19 tidak menunjukkan pengurangan iaitu 172 kes lagi baharu dilaporkan hari ini dan kematian akibat wabak itu kini berjumlah 19 orang, namun kerajaan melalui Kementerian Kesihatan teus melakukan yang terbaik untuk negara.

Malah doa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menimbulkan rasa sebak dalam kalangan rakyat diharap dapat menimbulkan keinsafan dan mendorong setiap orang mematupi peraturan yang ditetapkan untuk membendung Covid-19.

Berikut perkembangan yang berlaku hari ini.

08.30 malam: KKM selaras tenaga kerja, kurangkan beban petugas kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyelaraskan tenaga kerja di hospital kerajaan bagi mengurangkan beban petugas kesihatan sedia ada dalam mendepani wabak COVID-19. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata langkah itu bertujuan mengurangkan beban kerja petugas kesihatan khususnya di hospital kerajaan kerana ada antara mereka telah bekerja tanpa henti cukup lama.

08.00 malam: Tujuh individu ditahan dalam sekatan jalan raya di JB

Tujuh individu termasuk seorang pemandu perkhidmatan e-hailing antara yang ditahan dalam empat sekatan jalan raya yang diadakan di sini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata mereka merupakan lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 41 tahun.


07.35 malam:  KKM pertimbang guna ubat Favipiravir rawat pesakit

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbang penggunaan ubat antiviral Favipiravir bagi merawat pesakit positif COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Beliau berkata ubat itu, yang juga dikenali sebagai Avigan dan Fuhaikang, tidak didaftarkan di negara ini namun ia tertakluk kepada kelulusan KKM selepas meneliti kesan sampingannya.

07.27 malam: Pakar China akan datang ke Sabah, bantu tangani wabak

Beberapa pakar perubatan dari China akan datang ke Sabah dalam masa terdekat bagi membantu dalam usaha menangani penularan jangkitan COVID-19 negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Katanya beliau telah berhubung dengan Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai perkara itu semalam

07.16 malam: Johor umum peruntukan RM150 juta bagi 32 insentif tangani krisis wabak COVID-19

Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM150  juta bagi melaksanakan 32 insentif dalam pakej rangsangan ekonomi negeri untuk menangani krisis penularan COVID-19 di negeri itu. Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata enam insentif berjumlah RM12.5 juta telah diumumkan 20 Mac lalu, 15 insentif berjumlah RM17.5 juta diumumkan hari ini manakala baki 11 insentif lain berjumlah RM120 juta akan diumumkan dari semasa ke semasa.

06.53 petang: Sultan Nazrin perkenan peruntuk dana khas agihan zakat RM11.95 juta

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan memperuntukkan Dana Khas Agihan Zakat  berjumlah RM11.95 juta dalam meringankan bebanan rakyat dan membantu usaha pelbagai pihak menghadapi wabak COVID-19. Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari berkata dana khas itu telah disediakan oleh pihak MAIPk dengan kerjasama beberapa rakan strategik.

05.50 petang: 172 kes baharu, jumlah kematian di Malaysia 19 – KP Kesihatan

Terdapat 172 kes baharu dilaporkan sehingga 12 tengah hari ini menjadikan kes positif COVID-19 di Malaysia berjumlah 1,796 kes, manakala kematian akibat wabak itu kini berjumlah 19 orang. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan siasatan awal, daripada 172 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 71 kes berkaitan dengan kluster perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling.

05.30 petang: Tempoh bekerja dari rumah bagi penjawat awam dilanjutkan ke 14 April

Tempoh bekerja dari rumah bagi penjawat awam dilanjutkan sehingga 14 April depan selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata Surat Edaran JPA rujukan JPA.SARAAN(S) 256/6/31 Jld.6(2) bertarikh 17 Mac 2020 mengenai Arahan Bekerja Dari Rumah Berikutan PKP dan Penutupan Premis Kerajaan berserta soalan lazimnya adalah terpakai bagi tempoh lanjutan PKP itu.

05.20 petang: MB, Exco Pahang potong gaji 10% untuk tiga bulan isi tabung

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bersetuju memotong 10 peratus gaji mereka selama tiga bulan bagi membantu rakyat negeri ini yang terkesan dengan penularan virus COVID-19.

04.10 petang: 29 anggota polis termasuk keluarga di Perak dikuarantin

Seramai 29 orang terdiri daripada pegawai, anggota dan anggota pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak termasuk ahli keluarga, dikuarantin selama 14 hari sebagai langkah pencegahan penularan wabak penyakit COVID-19. Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata, manakala sejumlah 13 orang lagi dikuarantin bagi tempoh yang sama, selepas disahkan negatif oleh pihak hospital.

04.00 petang: Lelaki ‘kenduri kepala kambing’ mengaku bersalah

Lelaki yang merakam video ‘kenduri kepala kambing’ sambil mempersendakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kejadian di Langgar, Mukim Telaga Mas, Pokok Sena, di sini, minggu lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini. Tertuduh, Mohd Naim Md Isa, 49, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

03.56 petang: Operasi perkhidmatan bas percuma di Negeri Sembilan dihentikan sementara

Semua operasi perkhidmatan ‘Bas Percuma’ di negeri ini akan dihentikan sementara bermula Jumaat ini hingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak berikutan penularan wabak COVID-19.

03.40 petang: Ingkar PKP : 110 individu ditahan

Seramai 110 individu ditahan di seluruh negara kerana telah mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak ia dikuatkuasakan 18 Mac lalu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador. Beliau berkata antara kesalahan yang dilakukan individu terbabit itu adalah, menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.

03.30 petang: Polis laksana 1,295 sekatan jalan raya selama 24 jam – Ketua Polis Negara

Sebanyak 1,295 sekatan jalan raya dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sepanjang 24 jam setiap hari, dalam tiga syif melibatkan 15,000 anggota, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

03.00 petang: 95% ahli tabligh tampil buat saringan kesihatan – Ketua Polis Negara

Sebanyak 95 peratus peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling di sini tampil membuat saringan kesihatan bagi COVID-19, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. Katanya, baki lima peratus lagi sedang dijejaki untuk memastikan mereka juga tampil membuat saringan COVID-19.

02.45 petang: Doa PM Muhyiddin untuk rakyat undang sebak

Bacaan doa oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memohon perlindungan negara daripada wabak COVID-19 mengundang rasa sebak dalam kalangan rakyat Malaysia ketika beliau menyampaikan Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial hari ini. Ramai daripada mereka yang mengikuti perutusan khas itu menyatakan demikian dalam catatan masing-masing dalam media sosial termasuk Facebook dan Instagram

.

12.36 tengah hari: Dakwaan Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar dikuarantin tidak benar

Pihak pengurusan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, hari ini menafikan bahawa hospital itu dikuarantin, susulan dakwaan beberapa kakitangannya didapati positif jangkitan COVID-19. Pengarah hospital berkenaan Dr Muhammad Yusof Sibert berkata, sebaliknya operasi hospital itu setakat ini masih berjalan seperti biasa, namun golongan berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan datang ke hospital, kecuali bagi kes-kes kecemasan.

12.28 tengah hari: Satu lagi kematian, jumlah terkini kematian 17 kes

Satu lagi pertambahan kes kematian baharu yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan, menjadikan kes kematian COVID-19 di Malaysia,17 orang setakat ini. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes kematian ke-17 (kes ke-1251) adalah seorang warganegara Malaysia berusia 66 tahun dengan latarbelakang beberapa penyakit kronik.

11.00 pagi: UniMAP guna teknologi pengesanan pantau pelajar, kakitangan

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menggunakan teknologi pengesanan lokasi, bagi memantau keselamatan 17,000 pelajar dan kakitangannya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Naib Canselornya Prof Dr R Badlishah Ahmad berkata, melalui teknologi itu, kesemua warga UniMAP boleh mengemas kini kedudukan masing-masing tidak kira di mana mereka berada, dan pihak universiti akan membuat analisa data keberadaan mereka, sepanjang tempoh PKP.

0840 pagi: Pelbagai pihak tampil bantu petugas barisan hadapan

Dalam situasi yang mencabar akibat penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, beberapa pihak telah tampil untuk membantu para petugas barisan hadapan dan juga golongan yang memerlukan. Di Perak – Tiga sahabat mengambil inisiatif menyediakan makanan kepada petugas barisan hadapan dan mereka yang memerlukan.

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button