Politik

Covid-19: Anwar perlu tangguh agenda tukar kerajaan

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta untuk menangguhkan agendanya untuk menukar kerajaan pada waktu ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu sepatutnya mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Negeri Sabah yang dilihat menjadi punca kenaikan mendadak kes Covid-19 bukan sahaja di negeri tersebut tetapi juga di seluruh negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Anwar sepatutnya mengutamakan keselamatan rakyat yang kini berhadapan dengan risiko jangkitan virus Covid-19 yang berpunca daripada perebutan jawatan ketua menteri di Sabah.

“Diharapkan bakal PM dan PH dapat tangguhkan dahulu hasrat untuk menggerakkan agenda menukar kerajaan dan PM yang boleh membawa kepada pembubaran Parlimen dan PRU-15.

“Utamakan dahulu keselamatan rakyat yang sedang berhadapan risiko gelombang ke-3 pandemik Covid-19. Ambil iktibar daripada apa yang berlaku di Sabah. Akibat perebutan jawatan KM, akhirnya membawa kepada pembubaran DUN dan PRN Sabah.

Pada 23 September lalu di tengah-tengah kekalutan PRN Sabah sedang berlangsung Anwar mengumumkan telah mendapat sokongan kukuh daripada majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau sudah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Bagaimanapun majlis menghadap itu terpaksa ditangguhkan kerana Al-Sultan Abdullah dirawat di hospital.

Semalam Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata, Anwar hanya menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menghadap bagi mengemukakan hasrat membentuk kerajaan baharu.

Johari berkata, perkara itu diketahui Istana Negara seperti yang dijelaskan sebelum ini, namun hanya menunggu kesihatan Seri Paduka lebih stabil untuk menerima menghadap. “Tunggu istana kata okey…”.

Kes Covid-19 semakin meningkat sejak kempen PRN Sabah berlangsung. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam memberitahu, kebanyakan penularan kes jangkitan COVID-19 di Semenanjung, dikesan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September.

Malah, setakat ini, sekurang-kurangnya terdapat dua kluster yang dikesan di Semenanjung, termasuk Kluster Bakawali di Johor yang kes indeksnya mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 63 kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini dari 20 September lalu mempunyai sejarah pulang dari negeri itu.

Semalam, negara mencatatkan sebanyak 259 kes baharu jangkitan tempatan dengan kes aktif meningkat ke 1,334 kes.-SM

(Visited 93 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button