Nasional

Covid-19: Ambang 31 Ogos disambut unik

WALAUPUN seluruh dunia menghadapi pandemik Koronavirus (Covid-19), namun itu tidak mengurangkan semangat patriotik rakyat Malaysia untuk sambut ambang kemerdekaan.

Cuma, kaedah sambutan berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila sambutan di beberapa tempat terhad kepada jumlah pengunjung tertentu.

Walau bagaimanapun, lokasi ikonik Dataran Merdeka yang lazimnya menjadi tempat berkumpul untuk menyambut ambang kemerdekaan 31 Ogos malam tadi sunyi.

Di ibu negara, sambutan detik 12 tengah malam hanya disambut melalui program-program televisyen dan ia meriah dengan komen penonton menerusi media sosial.

Program sambutan tersebut disiarkan menerusi TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan menyiarkan secara langsung konsert khas ‘Kita Merdeka 1957 2020’ di Auditorium Perdana, Angkasapuri.

Program yang bermula pukul 10.30 malam itu menampilkan beberapa figura terkenal seperti Datuk Jamal Abdillah, Wany Hasrita, Haqiem Rusli dan Kugiran Masdo serta Bunkface.

Sementara sambutan detik 12 tengah malam 31 Ogos pula disambut bersama-sama petugas barisan hadapan.

Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Suriani Ahmad.

Bagi sambutan ambang kemerdekaan di seluruh negara pula, beberapa lokasi mempunyai cara tersendiri untuk menyambut detik 12 tengah malam.

Dalam tinjauan Bernama di Perlis, upacara terhad kepada 150 pengunjung sahaja.

– Gambar KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA

Majlis sambutan ambang merdeka diadakan di Dewan Wawasan, Kangar dengan kesemua jemputan diminta memakai pelitup muka dan menjalani imbasan suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke dewan.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Ia diserikan dengan persembahan kebudayaan, santapan dan amanat merdeka daripada Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Sementara di Sarawak pula, sambutan dimeriahkan dengan kehadiran 250 penonton dekat sebuah hotel di Sri Aman.

Sambutan di sana dimeriahkan dengan persembahan tarian kebudayaan dan hiburan yang dipersembahkan anggota Majlis Seni Sarawak.

Tetamu kehormat yang menghadirinya adalah Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Ia turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Tun Openg, menteri-menteri negeri, ketua jabatan kerajaan serta ketua kaum.

Di Terengganu pula tiada sambutan rasmi dianjurkan, namun suasana meriah di Jambatan Angkat di Kuala Terengganu.

Terdapat pameran dianjurkan dengan kerjasama pihak pengurusan jambatan berkenaan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

‘Bascule’ Jambatan Angkat dibuka bagi memberi laluan kepada Kapal Maritim (KM) Bagahak dan KM Gemia.

Kapal berkenaan menjadi tontonan pengunjung yang hadir menyaksikannya menyelusuri muara Sungai Terengganu serta melintasi jambatan ikon negeri itu.

Lebih menarik, pengunjung berpeluang melihat persekitaran jambatan angkat yang dihiasi lampu berwarna-warni.

Sementara itu, dalam tinjauan Suara Merdeka di Shah Alam pula, juga tiada sambutan rasmi diadakan.

Namun, Dataran Shah Alam meriah dengan kehadiran pengunjung yang ingin menyambut detik 12 tengah malam ambang kemerdekaan.

Bagaimanapun, dalam tinjauan pemandangan udara, kelihatan beberapa pancaran percikan bunga api menghiasi sambutan ambang 31 Ogos.

Beberapa ruang udara kawasan seperti di Shah Alam sendiri dan juga Klang dihiasi dengan percikan bunga api sebaik sahaja waktu 12 tengah malam tiba.

Demikian sambutan ambang kemerdekaan di beberapa lokasi di seluruh negara.

Walaupun tiada sambutan rasmi secara besar-besaran namun dapat dilihat semangat patriotik dan sambutan kemerdekaan dalam diri mereka tetap membara. – SM

 

(Visited 311 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button