Politik

Syukri Razab diingat jangan jadi langau, busukkan ikan

KETUA Penerangan BERSATU Melaka mengingatkan Ahmad Syukri Abd Razab supaya tidak menjadi langau.

Mohd Raduan Ja’apar menasihatkan, Setiausaha Angkatan Muda Keadilan itu jika tidak mampu menjadi garam, jangalah menjadi langau.

“Saranan saya kepada Syukri Razab, kalau tidak berupaya menjadi garam, jangan pula menjadi langau. Apabila langau menghurung ikan, maka busuklah ikan dan tidak boleh disimpan lama.

“Pepatah Melayu ada menyatakan ‘Ibarat ayam berkokok berderai-derai, tak sedar ekor bergelumang tahi’.

“Demikian cendekiawan mengungkapkan bahawa ayam jantan, sifatnya berlagak, ego dan sentiasa menunjuk gagah, Namun demikian, gagah, megah dan cantiknya si ayam jantan, ekornya meleret dan menyapu tahi yang diberaknya sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Raduan mengulas tindakan Ahmad Syukri  yang mengkritik Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad disiarkan portal Malaysiakini bertajuk “Dr M tak patut tuding jari untuk lepaskan diri’ bertarikh 21 Januari.

Sejak akhir-akhir ini, katanya, ramai pimpinan PH terutamanya dari pimpinan Keadilan sudah berani membuat kenyataan terbuka terhadap parti komponen PH, sedangkan BERSATU masih kekal berdisiplin dalam menjaga adab dan tatasusila kepartian dalam komponen.

“Kritikan terbuka terhadap YAB Perdana Menteri agar melepaskan jawatan telah menjadi zikir harian sehingga sanggup melemparkan tuduhan membuta tuli dengan niat memberi tekanan kepada rakan komponen parti.

“Kedangkalan Syukri Razab dalam ulasan beliau seolah-olah menunjukkan modus operadi terancang untuk menaikkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dengan sengaja mengalihkan tumpuan kelemahan kepada YAB Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Implementasi terhadap manifesto adalah tanggungjawab semua kementerian dan bukan hanya diletakkan di bahu Perdana Menteri semata-mata.

Syukri Razab, kata beliau, mungkin tidak sedar atau dengan sengaja membutakan mata dan menulikan telinga bahawa sebahagian besar dari manifesto Pakatan Harapan dicedok dari Pakatan Rakyat yang dibawa oleh PKR sehinggakan isu tol percuma masih didendangkan sehingga kini. (Rujuk: Program 100 hari Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga dan janji 6 dalam Buku Harapan).

“Adakah menteri-menteri dari PKR semuanya hebat? Sehingga sanggup mempersoalkan Menteri Kereta Terbang.

“Kononnya telah menjadi bahan lawak jenaka rakyat. Tuduhan ini jelas berniat jahat dengan merendahkan kredibiliti Menteri Pembangunan Usahawan tersebut.

“Dari kereta terbang itulah, dalam tidak sedar rakyat Malaysia telah dibuka mindanya terhadap inovasi terhadap teknologi rekacipta dan IR 4.0 termasuklah Internet of Things (IoT),” katanya.

Jelaslah Syukri Razab, kata beliau, masih tidak faham terhadap maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh Menteri terbabit.

Beliau berkata, agenda kebajikan rakyat bukan hanya ditumpukan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan semata-mata, tetapi semua kementerian perlu dilibatkan.

“Menunding jari hanya kepada satu Kementerian sahaja jelas berniat jahat. Syukri Razab hanya melihat kereta terbang sebagai titik kelemahan sebagaimana yang telah dihadapi oleh Kementerian Pendidikan sebelum ini berkenaan isu kasut hitam.

“Sebaliknya, Kementerian Pembangunan Usahawan telah banyak membantu dalam merealisasikan manifesto PH bagi mewujudkan peluang 1 juta peluang pekerjaan (Rujuk: Iltizam Khusus Untuk Anak Muda dalam Buku Harapan).

“Buktinya, bagi tahun 2020, program INSKEN Business Coaching (IBC) dan Business Enhancement Programme (BEP) akan dilaksanakan di seluruh negara dengan menyasarkan lebih 980 orang usahawan serta peluang pekerjaan,” katanya.

Selain itu, kata beliau sebanyak 184 program berbentuk latihan untuk 7,700 orang usahawan yang dapat membuka peluang pekerjaan akan dilaksanakan.

“Seperti pada tahun 2018 lalu, sebanyak 153 program pembangunan keusahawanan telah dilaksanakan berjumlah RM 13.7 bilion dengan seramai 637,808 orang menerima manfaat. (Rujuk: Buku Dasar Keusahawan Negara 2030),” katanya.

Oleh itu, beliau berharap agar Syukri Razab kembali waras dan celik serta tidak menjadi ahli PKR yang dangkal dan dungu dengan asyik melihat kelemahan orang lain.

“Ibarat menepuk air di dulang, terpercik muka sendiri. Kembalilah berpijak di bumi yang nyata.

Kemenangan PH pada PRU 14 lalu adalah atas dasar kepimpinan YAB Tun Dr Mahathir. Sejarah telah membuktikan sejak dari Barisan Alternatif (1999) hingga ke Pakatan Rakyat (2008) tidak pernah dapat menewaskan Barisan Nasional,” katanya.

“Namun, setelah kehadiran YAB Tun Dr Mahathir, barulah Pakatan Harapan yang idea, konsep dan strateginya dicetuskan oleh YAB Tun Dr Mahathir dapat mengalahkan Barisan Nasional,” katanya.

(Visited 342 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button