fbpx
Nasional

Covid-19: Agong zahir kebimbangan, titah rakyat beri kerjasama

Oleh BERNAMA 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini menitahkan rakyat Malaysia untuk memainkan peranan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani penularan COVID-19 di negara ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka turut menzahirkan kebimbangan susulan pengesanan 28 kes baharu COVID-19, semalam.

Justeru, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada KKM bagi proses siasatan dan mengenal pasti kontak rapat pesakit baharu terbabit supaya jangkitan virus itu dapat dibendung dengan segera serta berkesan.

“Seri Paduka bertitah, rakyat turut digesa menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) melalui laman sesawang KKM untuk sebarang keraguan serta pertanyaan dan maklumat,” katanya.


Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menasihati rakyat supaya mematuhi panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan KKM bagi mengelakkan penularan COVID-19.

Selain itu, katanya, baginda menasihati penganjur majlis supaya menjalankan saringan gejala dan sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari kebelakangan dari tarikh program terhadap peserta, selain menyediakan hand sanitiser (cecair pembasmi kuman) yang mencukupi bagi kegunaan mereka.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas tindakan segera, rawatan serta pemantauan berterusan oleh KKM dan agensi berkaitan dalam usaha memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berkesan.

“Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha KKM menjalankan siasatan serta aktiviti pengesanan kontak rapat bagi mengenal pasti punca kes mendapat jangkitan dan seterusnya mencegah penularan jangkitan itu.

“Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat untuk bersama-sama baginda berdoa memohon ihsan Allah SWT supaya Malaysia dan dunia dilindungi daripada COVID-19 serta memudahkan pihak berkuasa tempatan dan di kawasan terjejas menangani gejala virus ini,” katanya.

Semalam, KKM mengesahkan penambahan 28 kes positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif 83 kes di Malaysia. – BERNAMA

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button