Nasionalpilihan

Kerajaan setuju pinda perlembagaan isu taraf kewarganeraan anak dilahirkan diluar negara

KERAJAAN bersetuju cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara Malaysia.

Perkara itu disahkan dalam kenyataan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, pada hari ini.

Kenyataan itu menyebut, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 itu dijangka akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen ini setelah memenuhi kehendak undang-undang.

Mesyuarat Jemaah Menteri telah meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1) (e) dan Bahagian II, Seksyen 1 (b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar bin Ibrahim serta barisan kabinet kerana merealisasikan komitmen negara terhadap kesaksamaan jantina dan memenuhi hak terhadap kanak-kanak.

“Cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara ini adalah untuk menggantikan perkataan “bapanya” dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan “sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya” bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, kenyatan itu juga menyebut pindaan yang lain berkaitan kewarganegaraan terutamanya Bahagian III akan dikaji dengan lebih terperinci oleh Jawatankuasa yang ditubuhkan dibawah KDN dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri setelah cadangan pindaan tersebut dimuktamadkan dengan mengambil kira libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan.

Jelasnya, perkara ini sejajar dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita di Malaysia, mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan yang timbul, menyelesaikan lambakan kes-kes tertunggak bagi wanita yang terkesan yang memohon kewarganegaraan anak mereka melalui pendaftaran yang mengambil masa terlalu lama dan tidak munasabah dan memberikan tafsiran yang jelas dan mengelakkan tafsiran berbeza dari mahkamah.

“Kesan daripada keputusan ini adalah anak yang lahir di luar negara sebelum atau selepas Hari Malaysia yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya adalah warganegara Malaysia berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang menurut Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Artikel berkaitan > Kertas Jemaah Menteri berkaitan isu kerakyatan anak akan dibentang

(Visited 362 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button