Nasional

Covid-19: 13,451 premis disanitasi termasuk zon merah, kuning, hijau – Ismail Sabri

OPS Sanitasi Awam dibawah kawalselia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 10,874 operasi sanitasi.Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini merangkumi 137 zon.

“Sebanyak 13,451 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,749 pusat perniagaan, 1,629 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,663 tempat awam, 354 pasar raya, dan 6,056 bangunan kerajaan.

“Semalam (28 Oktober 2020), sebanyak 36 operasi sanitasi meliput 12 zon merah, 12 zon kuning dan 5 zon hijau telah dilaksanakan yang melibatkan 13 buah negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Negeri-negeri yang terlibat, kata Ismail Sabri ialah Sabah (9 operasi), Melaka (6 operasi), Selangor (5 operasi), Pulau Pinang (5 operasi), Johor dan Sarawak masing-masing dua operasi.

Manakala Terengganu, Pahang, Kedah, Perlis, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, masing-masing satu operasi sahaja, kata Ismail Sabri lagi.

Menurut beliau, operasi sanitasi ini melibatkan 243 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 213 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 42 dari agensi-agensi lain.

“Sebanyak 41 jentera JPBM turut terlibat dalam Operasi Sanitasi ini,” ujar beliau.

Sementara itu, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 46,853 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 3,116 Pasukan Pematuhan melibatkan 10,960 anggota telah membuat pemantauan di 3,541 pasar raya, 4,640 restoran serta 1,391 penjaja, 1,306 kilang, 3,450 bank dan 569 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau 929 terminal pengangkutan darat, 295 terminal pengangkutan air serta 75 terminal pengangkutan udara,” kata beliau.

PDRM telah menahan 549 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP semalam dan daripada jumlah itu, 547 individu telah dikompaun manakala dua direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (188), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (154), penjarakan fizikal (79), premis beroperasi lebih masa (34), aktiviti di pusat hiburan (9) dan lain-lain (85),” katanya.

Ops Benteng yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan agensi-agensi lain mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu dari dibolosi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), kata Ismail Sabri.

“Ini bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain mengekang penularan wabak Covid-19. Semalam (28 Oktober 2020), Operasi Benteng telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 14 PATI.

“Turut berjaya dirampas sebuah bot dan enam kenderaan darat,” katanya sambil menambah, 291 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan.

Kerajaan, tegas Ismail Sabri, akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

Agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus, kata beliau. – SM

(Visited 273 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button