Nasional

COVID-19: 11 CAC beroperasi di Perak sejak 25 Jan – KP Kesihatan

Sebanyak 11 Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) telah beroperasi secara berperingkat di semua daerah seluruh Perak mulai 25 Jan lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata CAC tersebut mengendalikan penilaian pesakit-pesakit kategori 1 dan 2 yang menjalani rawatan pemantauan di rumah.

“Secara kumulatif, sejumlah 987 pesakit telah dipantau oleh CAC yang mana 106 kes masih menjalani pengasingan di rumah, sehingga semalam,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Arena Badminton di sini, seterusnya mendengar taklimat daripada Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Ummi Kalthom Shamsudin, mengenai situasi serta kesiapsiagaan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dalam menghadapi pandemik COVID-19.

Beliau berkata sejak dibuka pada 28 Nov lepas sehingga semalam, PKRC itu telah merawat secara kumulatif 1,416 pesakit dengan 98 daripadanya merupakan kes aktif.


Katanya, secara keseluruhan 760 kes (54 peratus) adalah lelaki, 1,218 kes (86 peratus) berusia 19 hingga 59 tahun dan 1,185 kes (84 peratus) adalah warganegara Malaysia

PKRC yang mempunyai kapasiti 210 katil itu merupakan hasil kerjasama JKN dan kerajaan negeri bagi menampung kapasiti rawatan kes positif COVID-19 di Perak, khususnya untuk pesakit kategori 1 dan 2 (tidak bergejala dan bergejala ringan) yang tidak sesuai menjalani pemantauan serta pengasingan di rumah.

Katanya seramai 86 petugas terdiri daripada JKN, Pejabat Kesihatan Daerah, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Malaysia, Majlis Bandaraya Ipoh, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan UEM Edgenta, bertugas di PKRC berkenaan.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 30 kes kematian akibat COVID-19 di Perak berlaku semasa gelombang ketiga pandemik itu melanda negara.

“Sepanjang tempoh pandemik berlaku sehingga hari ini, jumlah kumulatif kes COVID-19 di Perak adalah sebanyak 7,393 kes dengan 36 kematian direkodkan.

“Daripada jumlah terkumpul ini, sebanyak 7,124 kes (96.3 peratus) dan 30 kematian berlaku semasa gelombang ketiga pandemik COVID-19 di negara kita,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 74 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button