Uncategorized

KERAP sangatkah Tun Dr. Mahathir Mohamad ke luar negara?

Untuk tahun ini sahaja sudah acap kali Perdana Menteri terbang melakukan lawatan kerjanya.

Ini sekali gus meninggalkan sektor-sektor domestik negara di tangan menteri-menteri kurang pengalaman yang dibelenggu persoalan besar menyelesaikan isu-isu kos sara hidup yang diperdebatkan ramai.

Selain rakyat khuatir isu kesihatan dengan usia yang menjangkau 94 tahun ini, Dr. Mahathir seharusnya lebih banyak menghabiskan masa dalam negara waktu ini.

Beri sahaja tanggungjawab menemui dan berunding dengan rakan-rakan sejawat dan perniagaan di seberang laut kepada Menteri Luar, Saifuddin Abdullah; timbalannya Datuk Marzuki Yahya selain bapak-bapak duta.

Ya lah, semua maklum Dr. Mahathir diakui cukup agresif mencari kaedah atau inisiatif dengan membantu sebahagian besar menteri yang masih lagi `terpinga-pinga’ untuk fokus menggerakkan penyelesaian masalah rakyat serta menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI).

Lihatlah! baru saja tidak kurang seminggu Pakatan Harapan dimalukan di Tanjung Piai dengan kekalahan lebih 15,000 undi, Perdana Menteri sudah pun berada di Korea Selatan menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan (ROK) 2019 di Busan.

Seolah-olah tidak pernah kenal letih negarawan ini, itu satu hal. Perkara kedua yang menjadi isunya ialah prestasi menteri-menterinya yang sepeninggalan beliau kelihatan `acuh tak acuh’ dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Fi’il orang Melayu bila sudah marah, mereka takkan pilih lagi PH asalkan kemarahan mereka `terdaftar’.

Antara senarai kemarahan Melayu termasuklah janji-janji PRU-14 PH yang seharusnya diatasi, berkaitan pemansuhan tol, penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan kos hidup tinggi yang khabarnya mengundang penderitaan golongan Melayu kampung pemaju sawit dan getah.

Jika Perdana Menteri tidak kerap meninggalkan sementara tanah air, beliau boleh sahaja memanggil menteri pendidikan dengan bertanya `mana ansurnya PTPTN ini’? Juga, mana usaha menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pengguna untuk menstabilkan harga barang. Mengapa stok penimbal tidak diperkenalkan?

Suara Merdeka percaya jika semua kelompangan ini tidak diatasi dalam tempoh singkat, kebencian rakyat sukar dibendung. Ini sekali gus mengekang PH kembali memerintah – hanya sepenggal.

Dan kalau banyak sangat bercakap siapa nak jadi Perdana Menteri daripada apa yang hendak dibuat untuk membela rakyat, yakinlah bahawa `hari penentuan’ itu pasti hadir.

– SUARA MERDEKA

(Visited 105 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button