Nasional

COVID-19: 81 individu tiba dari Itali dibenar pulang selepas kuarantin

SELEPAS menjalani kuarantin 14 hari,  81 individu terdiri daripada rakyat Malaysia dan tanggungan serta enam individu bukan warganegara yang tiba di tanah air dari Itali pada 26 Mac lalu dibenarkan pulang hari ini.

Mereka dibenarkan pulang selepas menjalani proses kuarantin di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek.

Kesemua mereka terdiri daripada 75 rakyat Malaysia dan enam warganegara Itali yang dibenarkan pulang pukul 8 pagi tadi, diambil oleh ahli keluarga dan ada juga di antara mereka yang menaiki sebuah van dan kereta yang disediakan oleh pihak pengurusan pusat kuarantin.

Daripada jumlah itu, 39 daripada mereka ialah lelaki dan 42 perempuan.

Turut dibenarkan pulang ialah lima kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 20 kru AirAsia dan masing-masing seorang pegawai daripada Kementerian Luar dan seorang pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menurut wakil NADMA, lapan individu yang pulang menaiki van dan kereta yang disediakan pihak pengurusan pusat kuarantin dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 manakala selebihnya diambil ahli keluarga dengan dibekalkan surat kebenaran pergerakan.

Kesemua 81 individu itu dibawa balik daripada Itali menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) menaiki pesawat khas AirAsia yang tiba di KLIA pada pukul 10.06 pagi, 26 Mac lalu, susulan penularan wabak COVID-19 di Itali.

Misi berkenaan adalah yang keempat selepas kejayaan membawa pulang rakyat Malaysia terkandas di Wuhan, China pada 4 Februari dan 26 Februari lalu akibat wabak COVID-19, dengan masing-masing berjumlah 133 dan 66 orang diikuti misi HADR dari Tehran, Iran, yang membawa pulang 55 individu, pada 22 Mac lalu.

Ketika ini, masih terdapat 30 individu rakyat Malaysia di pusat kuarantin AKEPT terdiri daripada 15 individu yang tiba dari Indonesia, 14 individu tiba dari Sepanyol dan seorang tiba dari United Kingdom, yang akan menamatkan proses kuarantin mereka pada 17 April ini selepas di masukkan ke pusat itu pada 2 April.

Kumpulan itu merupakan antara hampir 7,000 rakyat Malaysia di luar negara yang dibawa pulang ekoran terkandas akibat penutupan sempadan oleh beberapa negara.

Usaha untuk membawa balik golongan itu termasuk yang melancong ketika wabak itu sudah tersebar dilakukan sama ada dengan pembiayaan kerajaan, sumbangan parti politik, pihak swasta, mahupun secara persendirian.– BERNAMA

(Visited 58 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button