Bola SepakSukan

Coutinho gembira Barca kalah

PHILIPPE COUTINHO menegaskan dia berasa ‘gembira’ selepas memalukan Barcelona menerusi kekalahan besar dengan meledakkan dua gol dan turut mencatat satu bantuan sewaktu Bayern Munich membelasah kelab Catalan itu 8-2 yang merupakan majikannya.

Bintang Brazil itu yang mencatat rekod perpindahan termahal sewaktu menyertai kelab gergasi Catalan tersebut, dipinjamkan ke pasukan juara Bundesliga pada tahun lalu, selepas gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan di Camp Nou.

Malah, pemain berusia 28 tahun itu turut membantu menjadikan kekalahan Barcelona sesuatu yang memalukan dari segi bilangan gol setelah Coutinho memainkan peranan utama bagi tiga jaringan terakhir Bayern selepas dia di bawa masuk daripada bangku simpanan ketika 15 minit permainan berbaki di Lisbon.

Tujuh minit selepas di bawa masuk, dia membantu Robert Lewandowski menyumbat gol ke-54 musim ini dengan menyempurnakan hantaran buat bintang Poland itu bagi menanduk masuk gol ke gawang, sebelum Coutinho sendiri menambah dua lagi gol hasil rembatannya ketika permainan berbaki lima dan seminit untuk tamat.

Bercakap selepas perlawanan, Coutinho walaupun enggan meraikan jaringannya di Estadio da Luz, dia tidak pula menyembunyikan kegembiraannya meskipun majikannya itu ditimpa kekalahan terburuk sejak 1940.

“Perlawanan ini amat penting buat kedua-dua pasukan terbaik di dunia,” katanya sebelum memastikan dia meninggalkan stadium dengan perasaan ‘gembira’ setelah Bayern menempah tiket ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Keceriaan yang dipamerkan Coutinho ketika ini adalah jauh daripada sosok tubuhnya yang kelihatan berputus asa terhadap permainan di La Liga.

Pemain tengah itu yang menyertai Barcelona dari Liverpool menerusi rekod perpindahan kelab bernilai 142 juta pound (RM778 juta) pada Januari 2018 dan pernah mendedahkan dia mahu memenangi trofi terbesar di Eropah itu bersama kelab Catalan tersebut.

Namun, dia bergelut dengan prestasi sepanjang di Camp Nou dan hanya menjaringkan 11 gol daripada 54 penampilan untuk Barcelona pada musim 2018/19, jadi dia dianggap sebagai pemain lebihan yang tidak diperlukan.

Perpindahan ke Bayern akhirnya berlaku pada musim panas lalu dengan sasaran untuk cuba mengembalikan keyakinannya di Bundesliga.

Apa yang pasti, pemain Brazil itu kini memiliki pengalaman yang manis menyarung jersi Bayern, tetapi kelab itu menegaskan bahawa mereka tidak akan mengambil pilihan untuk menandatanganinya secara tetap.

Ejen Coutinho, Kia Joorabchian dalam beberapa kenyataannya bahawa Coutinho kini berharap dapat kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris, dengan Arsenal dikaitkan menerusi perpindahan tersebut. – Daily Mail UK – SM

(Visited 84 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button