Sukan

Merosotkah badminton Malaysia?

ANALISIS

PENULIS tidak mempunyai pengetahuan yang cukup mendalam terhadap sukan badminton negara tetapi pada hemat penulis sejak kebelakangan ini sukan badminton seperti kehilangan serinya.

Mungkinkah disebabkan kehambaran prestasi yang dipamerkan para pemain negara di pentas antarabangsa?
Ataupun disebabkan pandemik coronavirus yang melanda dunia menjadikan sukan badminton kelihatan lesu sehingga turut menjejaskan prestasi para pemain Malaysia.

Benarkah prestasi pemain-pemain negara terjejas ketika ini? Merosotkah permainan mereka?
Sejujurnya sukar untuk terus menuding jari ke arah para pemain. Sejak Covid-19 melanda dunia pada tahun lalu, ramai yang terjejas termasuklah atlet-atlet.

Bidang sukan terjejas teruk sebenarnya, tidak terkecuali badminton apabila sepanjang tahun lalu, tiada sebarang kejohanan mampu dianjurkan.

Bagaimanapun, jika diteliti elok-elok prestasi badminton Malaysia di pentas antarabangsa, sebelum coronavirus melanda lagi telah bergerak agak perlahan.

Malaysia agak ketinggalan di belakang kuasa besar badminton pada ketika ini iaitu China dan Jepun.
Itu belum diambil kira cabaran dari negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, selain pesaing Asia seperti Taiwan, Korea Selatan dan India serta kuasa besar Eropah, Denmark.

Jika dinilai daripada dua kejuaraan yang disertai para pemain negara sebaik tirai musim 2021 dibuka, pencapaian terbaik Malaysia adalah sebagai naib juara beregu lelaki pada Terbuka Thailand Yonex dan Terbuka Thailand Toyota yang kedua-duanya memiliki status Jelajah Dunia Super 1000.

Kedua-dua kejayaan itu diraih oleh beregu berbeza iaitu Goh V-Shem-Tan Wee Kiong dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Namun, kedua-dua beregu lelaki negara itu tewas kepada lawan yang sama iaitu pasangan handalan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.

Jika dinilai dari segi persembahan pada kejohanan tersebut, hanya V-Shem-Wee Kiong yang dilihat mempu memberikan tentangan sengit, tetapi bagi Aaron-Wooi Yik seperti ada jurang antara mereka dengan beregu Taiwan itu.

Aaron dan Wooi Yik kelihatan bergelut untuk mencari mata dan buntu dengan aksi mantap dipamerkan Lee Yang-Chi Lin yang cukup cemerlang corak permainan mereka baik menyerang mahupun bertahan.

Melihat kelincahan Lee Yang dan Chi Lin bermain, mengimbau nostalgia penulis ketika menyaksikan zaman kegemilangan Tan Boon Heong-Koo Kien Keat sewaktu dibimbing legenda beregu Indonesia, Rexy Mainaky.

Selain beregu lelaki, persembahan Malaysia dalam perseorangan lelaki dan wanita, beregu wanita serta beregu campuran bolehlah dinilai sebagai sederhana.

Bukan tiada pencapaian, tetapi perjuangan mereka terkandas sama ada di suku akhir atau separuh akhir.
Persembahan para pemain juga lebih baik pada Terbuka Thailand Toyota berbanding Terbuka Thailand Yonex yang berlangsung seminggu awal.

Pada Terbuka Thailand Toyota yang baru sahaja melabuhkan tirai kejohanan, semalam, menyaksikan sembilan wakil negara dalam setiap kategori berjaya sekurang-kurangnya ke suku akhir.

Beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan beregu muda wanita, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan yang melakukan penampilan sulung pada Jelajah Dunia Super 1000 ada menunjukkan petanda positif apabila mampu mara sehingga ke separuh akhir dan suku akhir.

Cuma timbul persoalan dibenak penulis, apakah akan terjadi jika Jepun tidak menarik diri daripada menyertai kedua-dua kejohanan tersebut pada saat-saat akhir dan jangan lupa, China juga tidak menghantar wakil mereka.
Mampukah Malaysia memiliki wakil seramai itu pada suku akhir jika ada pencabar hebat seperti Jepun dan China?

Jika tiada aral, Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini, badminton merupakan salah satu sukan harapan untuk mengutip pingat.

Jangan tanya warna kilauan pingat kerana penulis sendiri takut untuk memikirkannya.

Sejak jaguh badminton negara yang juga bekas bintang No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraan beliau, dua tahun lalu, Malaysia seperti hilang sengat di pentas dunia.

Pengganti Chong Wei iaitu pemain berusia 23 tahun, Lee Zii Jia masih belum benar-benar meyakinkan sama ada dia berupaya menggalas tanggungjawab itu.

Walau apa juga hasilnya nanti, penulis amat berharap pemain-pemain muda yang diberi peluang oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memanfaatkan kesempatan itu untuk mempamerkan prestasi yang didambakan.

Bagi pandangan penulis, mereka bukan tiada potensi cuma perlu lebih fokus, berani dan pertingkatkan kualiti permainan dalam latihan serta rajin-rajinlah buat ‘kerja rumah’ tentang kelebihan serta kekuatan lawan.

Tiada yang mustahil jika ada kesungguhan dan tekad, bawalah semangat Malaysia Boleh! ke mana sahaja anda melangkah kerana sesungguhnya rakyat negara ini sentiasa berdiri di belakang menyokong anda tanpa berbelah bahagi. – SM

(Visited 457 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button