Agama

Tanggungjawab setiap Muslim berhati-hati terjebak dengan Islam liberal

MENJADI tanggungjawab setiap orang Islam untuk berhati-hati daripada terjebak dengan pemikiran Islam liberal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Zulkifli al-Bakri berkata, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada Julai 2006 telah memutuskan pemikiran Islam liberal adalah sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

Dalam artikelnya Al-Bayan Siri 12: Dari Liberalisme ke Islam Liberal satu sorotan, Zulkifli berkata, menurut Charles Kurzman, muslim pertama yang mencadangkan nama “liberal Islam” ialah Asaf Ali Ashgar Fyzee, seorang modenis kelahiran India.

Menurutnya, seorang tokoh yang mendokong Islam Liberal di Indonesia Greg Barton, menyatakan bahawa terdapat empat rukun asas bagi ajaran Islam liberal.

Iaitu Kepentingan kontekstualisasi ijtihad, Komitmen terhadap rasionaliti dan pembaharuan agama, Penerimaan terhadap pluralisme sosial dan agama dan Pemisahan agama dari politik.

Jelas Dr. Zulkiflim ideologi liberalisme muncul atas asas kebebasan individu sebagai tindak balas terhadap pemerintahan kuku besi, feudalisme dan teokrasi yang menjadi pengalaman pahit masyarakat Barat selama lebih kurang seribu tahun.

Fahaman tersebut memberi penekanan yang mendalam terhadap kebebasan individu, sikap keterbukaan, meraikan kepelbagaian dan dalam masa yang sama menekankan konsep kesetaraan dan kesaksamaan.

Gerakan Islam Liberal yang terinspirasi daripada ideologi liberalisme diwujudkan atas asas untuk membebaskan umat Islam daripada belenggu kejumudan dan keterbelakangan yang diakibatkan oleh fahaman konservatisme dan fundamentalisme agama, melalui penghargaan terhadap kepelbagaian pandangan, pembukaan pintu ijtihad, perjuangan hak asasi manusia serta mempertahankan kebebasan.

“Kesemua cita-cita yang digariskan ini sebenarnya bertepatan dengan ajaran Islam. Namun ia dilakukan dengan cara menyanggah dan meruntuhkan tradisi keilmuan para ulama yang telah diwariskan sejak zaman-berzaman.

“Pintu ijtihad dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja, dan perkara-perkara yang sudah disepakati oleh para ulama sejak zaman-berzaman (ijma’) juga cuba dirungkai, atas nama ijtihad,” kata Dr. Zulkifli.

Menurutnya, faham kebebasan dan hak asasi yang diperjuangkan pula nampaknya hanya mencedok daripada teori-teori Barat.

Jelas beliau, sementara Islam mengiktiraf hikmah dan mengambil manfaat produk yang baik daripada mana-mana tamadun, Islam juga mengajar agar umatnya menyaring terlebih dahulu pemikiran-pemikiran Barat dan memastikan ia benar-benar selari dengan pandangan alam Islam.

“Telah sekian ramai pemikir-pemikir Islam yang menghasilkan buah fikiran yang tuntas dalam isu kebebasan dan hak asasi manusia, antaranya Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Rachid Ghannouchi, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Dr. Ahmad al-Raisouni dan Prof Muhammad ‘Immarah yang pastinya perlu ditelaah dalam memformulasi teori kebebasan yang selaras dengan ajaran Islam.

“Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab bagi setiap Muslim untuk berhati-hati daripada terjebak dengan pemikiran Islam liberal ini,” nasihat Dr. Zulkifli.

Pemikiran Islam Liberal sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam antaranya berdasarkan aspek-aspek mempersoalkan metodologi pentafsiran al-Quran dan al-Hadith.

Golongan itu juga melakukan kesilapan pada menempatkan peranan akal bukan pada tempatnya dan mereka menilai semula konsep hukum-hakam qath’ie dan zhanni yang telah disepakati para ulama.-SM

(Visited 523 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button