fbpx
Rencah Hidup

Cikgu Samuel ajar erti jangan berputus asa – Nie Ching

KEJAYAAN guru bahasa Inggeris Samuel Isaiah dipilih sebagai 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020 membuktikan bahawa perjalanan hidup tak selalunya lurus.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching yang pernah bertemu Cikgu Samuel berkata, pengalaman guru itu wajar dijadikan pengajaran untuk tidak sesekali berputus asa dan mengalah dengan keadaan.

“Cikgu Samuel telah membuktikan bahawa perjalanan hidup kita ini tak selalunya lurus. Kerapnya berliku sebelum dapat mencapai kejayaan; ada sedih, ada duka, ada marah dan akhirnya gembira.

“Kejayaan Cikgu Samuel ini wajar dijadikan pengajaran yang jangan sesekali kita berputus asa dan mengalah dengan keadaan.

“Segala yang dihasrat tapi tak didapat, adalah nikmat yang paling padat.” – A. Samad Said, Benih Semalu,” kata Nie Ching yang turut memetik tulisan Sasterawan Negara.


Nie Ching bertemu dengan Cikgu Samuel Isaiah sebelum beliau berlepas ke Amerika Syarikat bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang Educational Policy and Leadership di State University of New York tahun lalu.

Cikgu muda itu sangat berdedikasi semasa menjadi guru dan amat disayangi oleh semua murid di perkampungan Orang Asli ketika mengajar di Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah, Pahang.

Menurut Nie Ching, kejayaan Cikgu Samuel amat membanggakan bukan sahaja bagi golongan pendidik, namun kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Cikgu Samuel.

Menurut kenyataan penganjur Yayasan Varkey di London, Samuel yang lebih mesra dipanggil Cikgu Sam dipilih daripada 12,000 pencalonan daripada lebih 140 negara.

Anugerah yang menawarkan hadiah US$1 juta (RM4.16 juta) itu merupakan program pengiktirafan guru dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Samuel telah memperkenalkan pelbagai inovasi bagi memberi inspirasi kepada muridnya yang terdiri daripada Orang Asli, untuk menyimpan impian besar serta berusaha menghubungkan mereka ke dunia luar.

Antara program diperkenalkan Samuel ialah projek pertukaran e-mel dikenali sebagai ‘Asli E-Pal’, dan murid-murid boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan yang lebih dewasa dari dalam dan luar negara.

Samuel juga memperkenalkan program ‘Speak Up With Poetry’ (Bersuara dengan Puisi) iaitu projek kerjasama beliau dengan penyair amatur yang menulis puisi berkaitan kebudayaan Orang Asli dan kemudiannya murid-murid boleh menonton program itu dalam bentuk video untuk pembelajaran bahasa Inggeris.

Sejak pengenalan pelbagai program oleh guru berkenaan, purata kadar lulusan mata murid bahasa Inggeris di sekolah tersebut meningkat dari 30 peratus pada 2012 kepada 80 hingga 85 peratus pada 2015-2018.

Samuel dinobatkan sebagai penerima anugerah Guru Adiwira 2019.-SM

 

 

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button