Ekonomi

Samsung Electronics kekal sebagai jenama terbaik asia

SAMSUNG Electronics dipilih sebagai jenama terbaik Asia pada 2020 bagi sembilan tahun tahun berturut-turut, demikian menurut keputusan kaji selidik tahunan ‘Asia’s Top 1000 Brands’ yang dijalankan oleh Campaign Asia-Pacific secara kerjasama dengan Nielsen.

Kaji selidik itu mengkaji sikap pengguna terhadap jenama di 14 pasaran di Asia, iaitu China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, dan Vietnam.

Menurut laporan itu, bagi memastikan kaji selidik yang tepat, ia menyasarkan usia, jantina dan pendapatan bulanan isi rumah untuk mewujudkan landskap kaji selidik yang seimbang.

Asia’s Top 1000 Brands mengumpulkan data daripada kaji selidik dalam talian yang dibangunkan oleh  Campaign Asia-Pacific dan penyedia maklumat global Nielsen yang dijalankan antara 21 Februari dan 19 Mac, 2020.

“Samsung berada di senarai nombor satu dalam lima kategori bagi kaji selidik Top 1000 Brands tahun ini termasuk jenama tempatan paling kukuh, jenama dengan rekod kemampanan terbaik (kategori baharu) serta jenama utama dalam kategori mudah alih, televisyen dan teknologi rumah pintar,” kata laporan itu.

Rangking itu – yang mengumpulkan pandangan daripada 15 kategori produk utama termasuk automotif, runcit, makanan dan minuman dan elektronik pengguna adalah berasaskan pandangan pengguna dan menawarkan ukuran jelas mengenai jenama yang sangat terkenal yang menjadi perhatian utama di rantau ini.

“Kategori dan sub-kategori berubah sedikit setiap tahun. Tahun ini satu sub-kategori perkhidmatan pemesejan baharu ditambah di bawah kategori media dan telekomunikasi,” kata laporan itu. – BERNAMA

(Visited 258 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button