Berita

Dr Mahathir saksi TRXC, IWH-CREC meterai perjanjian bangun Bandar Malaysia

PUTRAJAYA, 17 Dis — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyaksikan majlis permeteraian perjanjian antara TRX City Sdn Bhd (TRXC) dan IWH CREC Sdn Bhd (IWH-CREC) untuk membangunkan Bandar Malaysia

TRXC adalah anak syarikat milik penuh Menter Kewangan Diperbadankan manakala IWH-CREC merupakan konsortium yang dianggotai Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd (CRECM).

IWH-CREC membeli 60 peratus pegangan ekuiti dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB), pemaju induk projek itu daripada syarikat induknya TRXC.

Pada April 2019, kerajaan Malaysia meluluskan penyambungan semula projek tersebut dan mengalu-alukan komitmen IWH-CREC untuk membangunkan projek berkenaan menerusi permeteraian Perjanjian Rangka Kerja Bandar Malaysia.

Bandar Malaysia adalah pembangunan tanah terbesar di tengah-tengah Kuala Lumpur. Ia terletak di tapak pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Jalan Sungai Besi, kata syarikat-syarikat itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Menurut kenyataan itu, pembayaran oleh IWH-CREC bagi 60 peratus pegangan tersebut adalah berasaskan kepada tanah Bandar Malaysia yang bernilai RM12.35 bilion.

Dalam projek yang disambung semula itu, terma pembayaran berperingkat telah dipendekkan dan dipercepatkan daripada tujuh tahun pada asalnya kepada tiga tahun bagi manfaat kerajaan Malaysia.

Menurut kenyataan itu, selain jumlah deposit asal RM741 juta, IWH-CREC juga membayar tambahan RM500 juta sebagai bayaran pendahuluan.

Turut menyaksikan majlis permeteraian itu ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian dan Presiden China Railway Group Ltd Chen Yun.

— BERNAMA

(Visited 107 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button