Ekonomi

Skim galakan penggunaan motosikal elektrik perkukuh EV, ekosistem mobiliti hijau

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, telah merasmikan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik. Inisiatif tersebut, yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri semasa ucapan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023 yang lalu.

Ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk merealisasikan agenda pembangunan secara lestari. Umumnya, industri  automotif global kini berada di dalam fasa peralihan untuk memperkenal dan mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) sejajar dengan perkembangan teknologi semasa dan keperluan dunia untuk segera mengurangkan pelepasan karbon.

Peningkatan di dalam penggunaan EV di dalam negara dapat mendorong industri automotif tempatan untuk mempergiatkan aktiviti pembangunan dan pengeluaran EV. Inisiatif ini, yang menawarkan bantuan dalam bentuk
insentif rebat adalah bagi membantu memberi keyakinan dan peluang kepada rakyat untuk merasai teknologi motosikal elektrik sebagai medium pengangkutan harian.

Inisiatif ini, yang dijenamakan sebagai “MARiiCas”, menyediakan rebat sehingga RM2,400, yang mana, ia dibuka kepada rakyat Malaysia dengan pendapatan tahunan RM120,000 ke bawah.

Dengan slogan “Memacu Kelestarian”, inisiatif ini adalah seiring dengan hasrat Kerajaan Madani ke arah mencapai sasaran karbon sifar seawal tahun 2050.

Ini secara tidak langsung akan dapat meningkatkan kelestarian alam melalui penerapan teknologi kenderaan elektrik di samping meningkatkan kualiti hidup masyarakat. “MARiiCas” akan diselaraskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii)
selaku agensi pelaksana.

Sesi pelancaran ini turut menyaksikan pengaktifan Platform permohonan MARiiCas oleh MARii bagi membolehkan pemohon untuk menyemak kelayakan serta memohon bagi insentif ini. Melalui platform ini juga, pemohon boleh mengakses maklumat berkaitan model-model motosikal elektrik yang ditawarkan serta menyemak kelulusan permohonan.

Platform ini boleh diakses menerusi laman sesawang insentif.marii.my bermula 8 Disember 2023.

Tengku Zafrul berkata: “Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050, salah satu misi di bawah New Industrial Master Plan (NIMP) 2030 iaitu “Push for Net Zero” telah menggariskan EV sebagai pemacu pertumbuhan utama ekonomi hijau.

“Justeru, pelancaran MARiiCas pada hari ini adalah tepat pada masanya dan MITI percaya inisiatif ini berupaya merancakkan penerimaan rakyat untuk beralih daripada penggunaan Internal Combustion Engine (ICE)
kepada EV.

“Dari perspektif yang lain, ianya diharap dapat membantu pencapaian sasaran 20% jualan tahunan kenderaan adalah electrified vehicles (xEVs) pada tahun 2030 seperti mana yang telah ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap – NETR)”.

Menurut beliau, komitmen Kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap penerimaan rakyat untuk beralih kepada kenderaan berasaskan elektrik adalah bersifat menyeluruh, yang mana, manfaat mobiliti EV tidak hanya terhad kepada kereta sahaja, malah turut termasuk motosikal elektrik yang juga merupakan medium penting  pengangkutan rakyat.

“MARiiCas” dilaksanakan dengan kerjasama syarikat pengeluar motosikal elektrik tempatan. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz, sehingga kini, sebanyak 11 syarikat pengeluar motosikal elektrik tempatan melibatkan sebanyak 12 model telah berdaftar dan melepasi syarat kelayakan utama yang telah ditetapkan untuk disenaraikan sebagai syarikat pembekal motosikal elektrik di bawah program ini.

Menurut beliau, syarikat-syarikat ini telah memenuhi kriteria utama dari segi komitmen pemasangan secara tempatan, mencapai jarak perjalanan minimum sejauh 100km bagi setiap pengecasan penuh serta mendapat Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (Vehicle Type Approval – VTA) dari Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).

Maklumat lanjut mengenai MARiiCas termasuk semakan kelayakan dan senarai model motosikal EV yng diluluskan boleh didapati di laman sesawang inisiatif.marii.my. – SM 

(Visited 116 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button