Rencah Hidup

Tidak benar keluarga daif diabaikan, pihak masjid mohon Ebit dapatkan info sahih

PENGURUSAN Masjid Al-Irfan Derga, Alor Setar, Kedah menafikan pihaknya dan juga pihak berkuasa mengabaikan sebuah keluarga daif yang dibantu oleh pendakwah Islam Ebit Lew hari ini.

Menurut mereka perkongsian Ebit mengenai lawatan beliau ke sebuah keluarga fakir miskin dalam kariah Masjid Al-Irfan Derga menimbulkan persoalan bahawa Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak masjid mengabaikan keluarga tersebut.

Pihak masjid menyatakan keluarga yang tinggal dalam kariah mereka itu menerima bantuan bulanan berupa wang tunai daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Masjid Al-Irfan Derga sendiri.

“Keluarga ini juga turut ditawarkan rumah Asnaf yang lebih selesa oleh pihak LZNK namun ditolak oleh keluarga ini atas alasan tertentu .

“Keluarga ini sudah mendiami kawasan tersebut sejak sekian lama, walau bagaimanapun tanah yang didiami itu bukan milik mereka. Jadi ini sekaligus menyukarkan pihak LZNK dan yang berkenaan untuk membina rumah bagi keluarga ini diatas tanah tersebut.

“Bahkan semasa PKP ini, keluarga ini turut menerima bantuan bekalan makanan dari pihak Masjid Al-Irfan Derga yang disampaikan melalui Bendahari Masjid, Tuan Haji Osman yang mewakili Tuan Imam, Ustaz Abdul Hadi,” kata pihak masjid dalam satu kenyataan.

Pihak masjid berharap agar masyarakat  tidak sewenang-wenang menuduh atau memberi tohmahan bahawa keluarga tersebut diabaikan oleh pihak yang berwajib.

Pihak majlis juga meminta agar pendakwah terkenal itu mendapat maklumat yang sahih daripada pihak berwajib mengenai kumpulan yang mahu dibantu.

“Usaha Ustaz Ebit dalam membantu mereka yang memerlukan merupakan satu usaha yang mulia dan terpuji, walau bagaimanapun semoga Ustaz dapat berhubung dengan pihak yang berwajib terlebih dahulu untuk mendapatkan info sahih mengenai yang memerlukan ini,” kata pihak masjid dalam hantaran di Facebook Masjid Al-Irfan Derga.

Ebit dalam perkongsian di Facebook hari ini berkata, beliau menangis apabila menziarahi sebuah keluarga daif di ALor Setar, Kedah.

Menurut pendakwah itu, keluarga tersebut tinggal tiga generasi dengan seorang warga emas yang mengalami strok.

“Bau dan kotor sangat. Anak-anak tak sekolah. Orang Malaysia. Tengok kad pengenalan semua tadi. Orang sini juga. Sedih hati ini. Tolonglah ya Allah. Bertahun dah begini. Hari ini saya dah tak boleh tahan menangis jer.

“Adik ni kata dia nak sekolah. Dia nak solat. Kadang-kadang solat dekat rumah kawan. Menangis tadi adik ni. Saya tanya pakcik tak ada orang nak bawa pindah ke. Ramai ada datang cakap nak tolong. Belum rezeki kami. Tak apalah ustaz,” kata Ebit.

Ebid memohon mereka yang mempunyai rumah untuk disewa agar menghubunginya. Pendakwah itu berkata, beliau akan membayar sewa rumah tersebut selagi dia hidup.

“Bantu saya tengah menangis ni. Saya takkan balik selagi tak bawa mereka pindah ke rumah baru. Pohon doakan dari jauh.

Ya Allah maafkanlah diriku ini. Jangan salahkan sesiapa. Saya yang salah. Ceramah sana sini baru hari ini saya tahu. Maafkan saya pakcik. Maafkan saya adik-adik semua,” kata Ebit.-SM

 

 

 

 

 

 

(Visited 587 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button