NasionalPolitik

Ismail Sabri pastikan rakyat Pahang terima banyak peruntukan

WALAUPUN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi Bajet 2023 memperuntukan banyak bantuan bagi membantu Keluarga Malaysia mencakupi seluruh lapisan masyarakat namun penduduk di Pahang tidak pernah dipinggirkan sama sekali.

Ahli Parlimen Bera itu tetap memberi tumpuan bagi meringankan beban yang ditanggung kerajaan negeri menerusi beberapa peruntukan khususnya untuk membangunkan taraf ekonomi dan taraf hidup penduduk di kawasan bandar serta luar bandar.

Bagi tujuan tersebut Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.307 bilion untuk menaik taraf dan kerja-kerja menyelenggara  jalan persekutuan di seluruh negeri Pahang.

Sebanyak RM572.8 juta juga telah diperuntukkan bagi projek-projek pembinaan dan menaik taraf jambatan serta jejantas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan Keluarga Malaysia Pahang.

Kerajaan juga komited dalam melaksanakan Pakej Central Spine Road (CSR) dari Kuala Krai, Kelantan hingga ke Bentong sejauh 350 kilometer (km) tanpa tol dengan kos projek sebanyak RM8.7 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.

Dalam sektor pendidikan di Pahang pula, terdapat 40 projek baharu dan sambungan sekolah serta institusi pendidikan dengan kos RM754 juta di bawah Rolling Plan Kedua RMK12 Tahun 2022.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 13 projek telah siap sepenuhnya, 18 projek sedang dalam peringkat pelaksanaan dan 9 projek berstatus prabina.

Sementara dalam bidang kesihatan, sebanyak dua buah Klinik Kesihatan juga sedang dibina dengan Kuarters Bandar Raub dan Kuala Triang, Bera dengan peruntukan sebanyak RM40 juta yang dijangka siap tahun hadapan.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pula telah memperuntukkan sebanyak RM3.32 bilion bagi 101 buah projek pembangunan di Pahang dengan pecahan 39 projek baharu dan 62 projek sambungan untuk keselesaan Keluarga Malaysia.

Di bawah KPLB, sebanyak 60 unit rumah dibina dan 2,250 unit dibaik pulih (keseluruhan sebanyak 2,310 unit) di bawah Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia, melibatkan peruntukan sebanyak RM36 juta, yang memberi manfaat kepada lebih 11,500 ahli isi rumah luar bandar.

Bagi membantu golongan berpendapatan rendah di Pahang, sebanyak 12,444 unit rumah di bawah Program Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah siap dibina, sebanyak 2,171 unit dalam pembinaan dan 3,905 unit lagi dalam perancangan, menjadikan keseluruhan sebanyak 18, 520 unit.

Bagi menghadapi monsun timur laut, sebanyak RM1.8 billion disediakan di bawah projek tebatan banjir dan baik pulih hakisan pantai termasuk di Kampung Tanjung Batu, Pekan dan Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting Mukim Pelangai di Bentong serta
Pelan Induk Saliran Mesra Alam Bandar Bera.

Terdapat projek perintis kawalan hakisan dan kelodak di kawasan bercerun Cameron Highlands yang melibatkan kos RM6.07 juta bagi mengurangkan masalah serta meningkatkan kelancaran sistem saliran.

Sejumlah RM1.215 bilion akan dibelanjakan untuk pembinaan dua loji rawatan air baharu, lima projek penambaikan loji rawatan air dan muka sauk, tujuh projek pembinaan tangki air untuk sistem agihan dan satu Program Non Revenue Water (NRW) bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Pahang. – SM

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button