Mahkamah

CEO GISBH Kekal Dipenjara, Rayuan Cabar Penahanan Gagal

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan habeas corpus yang difailkan Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali, dan isterinya, Azura Md Yusof, bagi mencabar penahanan mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara memutuskan bahawa rayuan tersebut tidak mempunyai merit.

“Tiada merit dalam rayuan ini. Rayuan ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” katanya ketika membacakan keputusan.

Turut bersidang bersama beliau ialah Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Dengan keputusan itu, Nasiruddin kekal ditahan di Penjara Sungai Buloh, manakala Azura sebelum ini telah dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pasangan itu sebelum ini menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonan mereka.

Pada 14 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah menolak permohonan habeas corpus yang difailkan oleh mereka.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa sebagai ahli kumpulan jenayah terancang Kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di sebuah premis di Jalan Desa, Bandar Country Homes, Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika disabit kesalahan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button