
CEO Batu Didakwa Hantar Gambar Lucah kepada Remaja, Caprice Dedah Bukti Mengejutkan
SEORANG pempengaruh lelaki dikenali sebagai “CEO Batu” berdepan tuduhan serius selepas didakwa menghantar gambar lucah kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun. Pendedahan mengejutkan itu dibuat oleh penyanyi rap dan aktivis media sosial, Caprice, yang memuat naik bukti perbualan melalui Instagram miliknya.
Menurut Caprice, kejadian bermula apabila remaja tersebut, dikenali sebagai Isha, menghubungi individu terbabit melalui TikTok pada 1 November 2024 bagi menyatakan hasrat untuk berkolaborasi menghasilkan kandungan video. Permintaan tersebut disambut dengan baik sebelum mereka berpindah berkomunikasi menerusi aplikasi WhatsApp.
Namun, perbualan yang pada mulanya kelihatan profesional bertukar tidak senonoh apabila lelaki tersebut didakwa menghantar gambar bogel kepada mangsa. Caprice turut mendedahkan mesej rayuan daripada individu itu kepada ibu mangsa agar kejadian tersebut tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Saya merayu sangat kak. Gambar tu sepatutnya saya crop. Tapi saya terlepas pandang… Kalau saya sabit kesalahan, 10 tahun saya ke dalam. Segala usaha saya selama ni semuanya akan hilang. Saya masih ada orang tua untuk bagi nafkah. Kalau kak nak saya sujud pun saya sanggup,” demikian antara rayuan yang dikongsikan Caprice.
Caprice menjelaskan bahawa beliau terpanggil untuk mendedahkan isu tersebut bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai risiko keselamatan digital yang dihadapi oleh golongan remaja. Beliau turut menyeru ibu bapa agar lebih peka dan berhati-hati dalam memantau pergaulan anak-anak mereka secara dalam talian.
Setakat artikel ini diterbitkan, individu yang dikaitkan sebagai CEO Batu masih belum tampil memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.
Sementara itu, netizen rata-ratanya menyokong tindakan Caprice dan menyeru agar siasatan menyeluruh dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta memberi amaran kepada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap golongan bawah umur.