MahkamahNasional

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib kemuka keterangan baharu

MAHKAMAH Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak mengemukakan keterangan baharu dalam rayuan terakhirnya untuk membuktikan wujud konflik kepentingan yang berat di pihak Hakim Mohd Nazlan Ghazali ketika menghakimi perbicaraan SRC International dua tahun lepas.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata, permohonan untuk mengemukakan keterangan tambahan tidak memenuhi syarat undang-undang.

Dalam menyampaikan penghakiman, Tengku Maimun berkata, hakim tidak dapat melihat bagaimana keterangan tambahan yang dicadangkan berhubung pekerjaan Nazlan sebelum ini dengan Maybank berkait dengan tuduhan salah guna kuasa yang dikenakan terhadap Najib mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.

“Sekalipun Maybank terlibat, persoalannya adalah bagaimana bank itu, dan seterusnya penglibatan Nazlan, dalam sebarang cara penting (material) kepada persoalan salah guna kuasa.

“Sekalipun Maybank terlibat, persoalannya adalah bagaimana bank itu, dan seterusnya penglibatan Nazlan, dalam sebarang cara penting (material) kepada persoalan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata, tiada asas untuk mencadangkan bahawa kaitan Nazlan secara profesional dengan Maybank dalam sebarang cara menjejaskan penemuannya mengenai tuduhan salah guna kuasa.

“Kami nyatakan sekali lagi di sini bahawa kami belum meneliti ketepatan penemuan beliau (Nazlan) mengenai tuduhan salah guna kuasa. Ini adalah persoalan untuk rayuan utama,” katanya seperti laporan FMT.

Tengku Maimun berkata, mahkamah juga mendapati tiada apa-apa yang mencadangkan bahawa Nazlan mendapati Najib bersalah berdasarkan perkara selain keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan pada 2019.

“Kami selanjutnya mendapati bahawa tiada pertalian antara pekerjaan Nazlan dengan Maybank sebelum ini dengan, dan tuduhan terhadap, pemohon sehingga mencadangkan wujudnya konflik kepentingan yang menimbulkan berat sebelah,” tambahnya.

Hakim lain yang mendengar permohonan Najib ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Zabidin Mohd Diah.

Dalam permohonannya, Najib berkata, Nazlan sepatutnya menarik diri daripada menghakimi perbicaraan itu kerana terlibat dengan perbincangan dan membuat keputusan dalam pembentukan SRC sebagai anak syarikat 1MDB serta pemberian kemudahan pinjaman dan kredit untuk manfaat SRC dan 1MDB.

Nazlan ialah peguam am kumpulan Maybank dan setiausaha syarikat pada masa itu.

Usul peguam Najib memohon keterangan lisan diambil daripada bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, pegawai penyiasat kes SRC Rosli Hussein dan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Zamri Zainul Abidin, Asrul Ridzuan Ahmad Rustami, dan Noor Syazana Kamin) yang merakam kenyataan Nazlan semasa siasatan awal tahun ini

Pada Julai 2020, bekas Perdana Menteri itu disabitkan dengan tujuh tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta. Sabitannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lepas.

Mahkamah juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib. Bagaimanapun, dia dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan. – SM

(Visited 123 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button