Ekonomi

Cawangan Bank Rakyat di Sebuyau beri manfaat 16,373 penduduk

SERAMAI 16,373 penduduk di Sebuyau, Sarawak akan mendapat manfaat perkhidmatan perbankan Bank Rakyat selepas cawangan baharu Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change dibuka di daerah kecil itu.

Perasmian cawangan tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Pembukaan cawangan itu merupakan komitmen Bank Rakyat untuk memenuhi keperluan perbankan dan perkhidmatan pajak gadai Islam kepada kepada masyarakat yang kurang kemudahan asas perbankan terutama di kawasan luar bandar.

“Ia diharap dapat memberikan pengalaman dan kemudahan lebih baik kepada peniaga dan penduduk di sekitar Sebuyau untuk menjalankan urusan perbankan dengan mudah, selamat dan cepat.

“Ini juga merupakan langkah untuk menambah baik kemudahan perbankan Bank Rakyat sedia ada di Sebuyau sekarang iaitu daripada ATM yang ditempatkan di Koperasi Keluarga Wan Morsidi Tuanku Sait (KOWADI) kepada kemudahan perbankan yang terangkum dan pelbagai,” ujar Wan Junaidi.

Beliau turut menyampaikan hadiah khas kepada pelanggan pertama yang membuka Akaun Deposit-i Berjangka di cawangan tersebut.

Wan Junaidi juga memberi sumbangan asnaf Bank Rakyat kepada 100 penduduk.

Turut diserahkan pemberian Geran Bantuan Peneraju Sektor Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia kepada Koperasi Penduduk Daerah Asajaya Berhad, Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Sumbangan Prihatin Institut Koperasi Malaysia serta Geran Pembangunan Usahawan di bawah Program TUBE@Penjana, SME Corp.

Sementara itu Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, inisiatif tersebut sejajar dengan matlamat yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia bagi memastikan impak yang positif kepada ekonomi serta komuniti menerusi penyediaan perkhidmatan kewangan yang mampan dan terangkum.

“Bank Rakyat sentiasa memainkan peranan strategik dalam memenuhi aspirasi dan matlamatnya sebagai sebuah institusi kewangan yang bertanggungjawab yang mendorong kepada nilai positif dan kesan terhadap masyarakat menerusi operasi perniagaan yang holistik,” tambah Abd Rani.

Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan, pembukaan Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change menjadikan Bank Rakyat sebagai bank pertama yang memulakan operasi di pekan tersebut.

“Dengan pembukaan cawangan baharu di Daerah Kecil Sebuyau ini juga Bank Rakyat dapat terus menyokong dan merancakkan lagi sosio-ekonomi masyarakat Sebuyau ke tahap yang lebih baik,” jelas Syed Abdul Aziz.

Bank Rakyat mempunyai 14 cawangan di Sarawak iaitu di Bintulu, Kapit, Kota Padawan, Kota Samarahan, Limbang, Matang Jaya, Miri, Mukah, Permy Jaya, Sarikei, Satok, Sibu, Simpang Tiga dan Sri Aman.

Dua buah lagi cawangan Rakyat Xcess dan ArRahnu X’Change terletak di Betong dan Lundu.

Pada masa yang sama, Bank Rakyat juga mempunyai Ar-Rahnu X’Change di Satok dan Rakyat Xcess di Serian.

Bank Rakyat juga menawarkan kemudahan bank bergerak yang dikenali sebagai ARROW iaitu saluran alternatif yang memudahkan komuniti luar bandar dan pedalaman tanpa perlu mengunjungi kaunter bank.

Perkhidmatan ARROW telah beroperasi di Sarawak iaitu di sekitar Tatau, Sebauh, Sungai Asap, Nyalau dan Kuala Tatau.-SM

 

(Visited 568 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button