Nasionalpilihan

DUN Melaka lulus undang-undang Anti Lompat Parti

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi mewujudkan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar atau melompat parti.

RUU membabitkan peruntukan larangan ADUN bertukar parti itu diluluskan melalui undian apabila 24 ADUN menyokong manakala empat lagi tidak hadir.

Usul berkenaan telah dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (BN-Tanjung Bidara) pada hari pertama Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka di sini, hari ini.

Terdahulu, usul itu telah dibaca kali kedua oleh Datuk Rais Yasin (BN-Paya Rumput) sebelum ia dibahas oleh empat Adun, tiga mewakili blok kerajaan dan satu blok bukan kerajaan.

Usul itu dibahaskan Mohd. Aleef Yusof (PN-Sungai Udang); Zulkiflee Mohd. Zin (BN-Taboh Naning); Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) dan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana).

Ab. Rauf dalam ucapannya berkata, pembentangan Rang Undang-Undang tersebut adalah bertujuan untuk mengukuhkan kerajaan, baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Menurutnya, Rang Undang-Undang itu diluluskan bagi menamatkan era politik negatif dan tidak sihat seperti yang berlaku sebelum ini.

Kelulusan pindaan RUU berkenaan, Melaka menjadi negeri kesepuluh melaksanakan undang-undang Anti Lompat Parti selepas ia diluluskan di DUN Perak, Kelantan, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah. – SM

(Visited 38 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button