Nasional

Pengguna disaran rujuk FoSIM sebelum beli makanan pengusaha di rumah

Pelancong yang berkunjung ke negeri ini serta ingin membeli makanan daripada pengusaha makanan sediaan di rumah atau secara dalam talian digalakkan untuk melayari aplikasi sistem Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, menerusi FoSIM pengguna dapat mengenal pasti makanan yang dijual oleh pengusaha dari rumah memenuhi keperluan amalan kebersihan dan mengelakkan daripada berlakunya keracunan makanan.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil berat tentang kualiti dan juga tahap keselamatan makanan yang dijual memandangkan sebagai negeri pelancongan perkara tersebut diberikan keutamaan.

“Mana-mana pengguna yang datang ke negeri ini kalau sebelum nak beli makanan daripada pengusaha beroperasi di rumah di negeri ini, mereka disaran menilai mereka berdaftar atau pun tidak dengan FoSIM.

“Jika tidak berdaftar ada kemungkinan besar makanan yang disediakan oleh pengusaha di rumah tidak dijamin dari segi keselamatan kerana mereka tidak mendapatkan pelalian vaksin anti-tifoid yang kita tahu dapat mengelakkan keracunan makanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia peringkat negeri dan Anugerah Medan Selera Bersih, Selamat dan Sihat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Akmal berkata, walaupun tidak diwajibkan, penyenaraian itu dapat memberi pilihan kepada pengguna untuk memilih produk makanan yang dijual dari rumah secara dalam talian atau platform perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailling) selamat dimakan.

Justeru katanya, semua pengusaha dan pengendali makanan di rumah digalakkan untuk berdaftar dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menerusi aplikasi FoSIM bagi memastikan makanan yang dijual kepada pengguna diyakini selamat.

Menurutnya, hanya tiga syarat diperlukan iaitu berdaftar dengan FoSIM secara percuma, mendapatkan pelalian vaksin anti-tifoid dan menjalani latihan pengendalian makanan daripada sekolah latihan pengendali makanan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Setakat ini seramai 11 pengusaha sudah berdaftar dengan FoSIM dan kerajaan negeri kerana baru dilancarkan dan kerajaan negeri akan melancarkan kempen besar-besaran bagi mengalakkan mereka berdaftar segera dengan JKN negeri,” ujarnya. – SM

(Visited 270 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button