Nasional

Catat rekod, 313,761 dos vaksin diberi semalam

Jumlah pemberian harian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencatatkan rekod 313,761 dos semalam.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah itu melepasi sasaran 300,000 dos sehari yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Melihat pencapaian ini, kerajaan optimis segala usaha yang dirancang berada di landasan yang tepat, insya-Allah,” katanya menerusi rakaman video bagi mengulas perkembangan PICK hari ini.

Muhyiddin berkata, pada 15 Jun lepas, beliau telah mengumumkan pelan pemulihan negara, di mana menyasarkan peningkatan kadar vaksinasi kepada lebih 300,000 dos sehari selepas bulan Jun.

“Selain itu saya juga telah mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dan ketiga memfokuskan dalam mempercepatkan program PICK ke atas sebanyak mungkin populasi di Malaysia.

“Ini bagi memastikan negara kita akan berjaya mencapai imuniti kelompok dan seterusnya membawa kita kembali menjalani kehidupan menghampiri keadaan sebelum pandemik Covid-19,” kata Perdana Menteri.

Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba atas kejayaan mencapai sasaran yersebut.

Beliau turut berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan para sukarelawan serta seluruh rakyat yang bersama-sama menjayakan program vaksinasi terbesar negara.

Sementara itu Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 memaklumkan negara akan menerima 14.395 juta dos vaksin lagi bulan ini.

Ia melibatkan 6.429 juta vaksin jenis Pfizer, 1.529 jenis AstraZeneca dan 6.381 juta Sinovac.

Sehingga semalam 6.585 juta orang telah menerima dos pertama dan hampir 2.735 juta orang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Sementara itu, seramai 2,301,657 warga emas yang mendaftar untuk suntikan vaksin di bawah PICK sudah menerima dos pertama di bawah fasa kedua, sehingga 4 Julai.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata, ia bersamaan 79.2 peratus daripada jumlah keseluruhan warga emas berdaftar atau 66 peratus daripada keseluruhan populasi warga emas.

Pada masa yang sama, sebanyak 127,775 orang kurang upaya (OKU) turut telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin untuk tempoh yang sama sehingga 4 Julai.-SM

(Visited 75 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button