Luar Negara

Varian Omicron punca kes Covid-19 di Tonga naik mendadak

TONGA, negara kepulauan Pasifik Selatan mengesahkan penyebaran varian Omicron di negara itu menyebabkan 31 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kes aktif di negara itu 64.

Menurut laman web berita Matangi Tonga Online, Menteri Kesihatan Tonga, Saia Piukala pada sidang akhbar pagi semalam berkata, lima ujian yang dihantar ke Australia mengesahkan bahawa varian Omicron Covid-19 sedang merebak di Tonga sekarang.

Beliau juga mengesahkan 30 kes baharu dilaporkan di pulau besar Tongatapu manakala satu kes dikesan di Vava’u iaitu satu daripada 40 pulau kecil di negara kepulauan itu.

Kes yang disahkan termasuk individu dewasa yang sudah lengkap divaksin dan kanak-kanak. Kesemua mereka mengalami gejala tidak ketara.

Pada masa ini, Tongatapu dan Vava’u berada di bawah sekatan Covid-19 selama 14 hari dengan hanya penduduk dibenarkan keluar membeli barang-barang keperluan pada Selasa dan Jumaat.

Sebagai sebuah negara kepulauan dengan populasi lebih 100,000 lebih kurang 98% penduduk Tonga telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan 88% dos kedua. Lebih 2,000 orang telah mendapat suntikan penggalak mereka. – SM

 

(Visited 128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button