Berita

Usah menangguk di air keruh – Mahdzir

“Usah menangguk di air keruh’. Itu seruan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada semua ahli politik khususnya pihak pembangkang agar tidak mengambil kesempatan dalam situasi yang sedang melanda di antara kerajaan dan institusi diraja bagi mengelak keadaan terus berpanjangan.

Ahli politik tegas beliau, seharusnya berganding bahu dalam menangani isu berkaitan pandemik COVID-19 dan membantu memulihkan ekonomi rakyat yang terjejas ketika ini.

“Mana-mana pihak tidak wajar mengambil kesempatan atas situasi ini dan cuba `menangguk di air keruh’ serta membiarkan krisis ini berpanjangan.

“Sepatutnya apabila tahu apa sedang berlaku, kita buat sesuatu yang boleh menjadikan keadaan kembali baik dan tumpu urusan menyelesaikan masalah pandemik dan isu berkaitan rakyat,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Padang Terap hari ini.

Tambahnya, semua pihak tidak sepatutnya membiarkan krisis tersebut berlarutan dan perlu menggembleng tenaga dan usaha dengan penuh komitmen bersama kakitangan kerajaan serta barisan hadapan.

Mengulas lanjut isu panas situasi politik negata sekarang, Mahdzir berkata, beliau dan Ahli Parlimen UMNO secara keseluruhan sentiasa akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong dalam apa juga situasi yang berlaku di negara ini.

“Kita akur dengan titah Tuanku kerana ia adalah asas kepada perjuangan UMNO yang turut terkandung dalam Perlembagaan UMNO iaitu parti menjunjung institusi diraja.

“Keutamaan kita hari ini adalah bagaimana kerajaan dan ahli politik boleh memastikan krisis dan urusan berkaitan pandemik dapat digembleng penuh komitmen bersama kakitangan kerajaan serta barisan hadapan,”.

Berikutan itu, katanya, terdapat kewajaran bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu dipertahankan seperti yang diputuskan secara bersama pada pertemuan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Khamis lalu.

(Visited 208 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button