fbpx
Politik

Calon muda, baharu pasti diinginkan pengundi Sabah

PENGUNDI dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini pasti gembira jika calon muda dan baharu diketengahkan untuk bertanding.

Hal itu juga dilihat penting sebagai laluan kepada generasi muda dan muka baharu untuk memimpin kerajaan negeri menggantikan pemimpin senior.

Ini kerana pemimpin senior begitu lama berada dalam arena politik selain sebahagiannya terpalit dengan pelbagai persepsi negatif seperti rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

“Bila lagi anak-anak muda sebagai pemimpin yang akan mencorak masa hadapan mereka ini diberi peluang untuk mengemudi pentadbiran?

“Generasi muda sekarang perlu diberi peluang kerana mereka dan anak-anak mereka yang akan menghadapi masa hadapan.”


BACA > Pasang Jalur Gemilang terbalik di sekolah berulang lagi – Suara Merdeka

Ringkas Ketua Wira Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa (Putra), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif ketika ditemui wartawan Suara Merdeka hari ini.

Beliau berkata demikian menyeru parti-parti yang akan bertanding dalam PRN Sabah nanti supaya menampilkan calon muda yang berkaliber.

Tambah beliau, Sabah antara negeri yang landskap politiknya unik kerana mempunyai belasan parti ditubuhkan di sana.

Justeru, perkara itu dikatakan sepatutnya menjadi kelebihan kepada setiap parti yang akan bertanding dengan menampilkan calon muda dan muka baharu.

“Sabah tidak seperti negeri di semenanjung kerana variasi parti politiknya yang memberi pilihan alternatif kepada pengundi.

“Jadi PRN yang akan diadakan tidak lama lagi wajar menjadi peluang menampilkan calon generasi muda,” katanya.

SABAH
NASRUL ALI HASAN ABDUL LATIF

Katanya lagi, bagaimanapun tidak semestinya ahli politik senior terus diketepikan semata-mata untuk memberi peluang kepada calon muda.

Ahli politik yang berpengalaman puluhan tahun perlu diangkat menjadi mentor kepada pemimpin muda dalam pentadbiran kerajaan negeri atau persekutuan.

BACA > PRN Sabah: Jimmy Palikat penyanyi lagu Anak Kampung jadi calon bebas – Suara Merdeka

“Peranan ahli politik senior masih lagi diperlukan, dengan pengalaman yang ada, mereka boleh bertindak sebagai penasihat kepada pemimpin muda.

“Jadi dapat dilihat keseimbangan dan amalan sedemikian juga boleh diteruskan untuk generasi akan datang sebagai pelapis pemimpin masa hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nasrul Ali Hasan turut memuji tindakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Menurutnya. pembubaran DUN Sabah itu adalah kebijaksanaan kerajaan negeri dalam berhadapan kemelut politik.

Katanya juga, ia juga sebagai isyarat atau amaran kepada wakil rakyat yang melompat parti sehingga menyebabkan kerajaan negeri tumbang.

Tambah Nasrul lagi, pembubaran DUN di Sabah juga merupakan isyarat kepada Kerajaan Persekutuan supaya bertindak sedemikian untuk mengembalikan kestabilan politik.

“Jangan takut untuk bubar parlimen kalau keadaan politik tak mampu distabilkan kerana ia juga akan memberi kesan kepada ekonomi negara,” jelasnya.

Terdahulu, Mohd Shafie mengumum membubarkan DUN Sabah selepas partinya iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan) hilang sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

BACA > Bubar DUN Sabah, Mohd. Shafie ‘gentleman’ – Suara Merdeka

Ia susulan terdapat beberapa ADUN didakwa berpaling dan lompat parti bagi menyokong bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman untuk membentuk kerajaan negeri baharu. – SM

 

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button