Politik

Calon Ketua Menteri PN daripada Bersatu – Muhyiddin

CALON Ketua Menteri Melaka bagi gabungan Perikatan Nasional itu adalah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengesahkan perkara itu berkata, calon Ketua Menteri dipilih daripada Bersatu kerana parti itu memiliki calon paling ramai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berbanding calon parti komponen PN yang lain.

Bagaimanapun bekas Perdana Menteri itu masih merahsiakan nama calon yang bakal diangkat sebagai Ketua Menteri sekiranya Perikatan Nasional memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka pada 20 November ini.

“Calon Ketua Menteri Melaka bagi PN akan diumumkan tidak berapa lama lagi, sudah pasti sebelum hari mengundi.

“Jadi, calon Ketua Menteri itu akan datang daripada Bersatu, itu yang saya boleh maklumkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Muhyiddin, nama Ketua Menteri daripada PN tidak diumumkan pada waktu ini merupakan sebahagian daripada strategi parti itu pada PRN kali ini sambil menambah nama calon Ketua Menteri telahpun diputuskan.

“Itu strategi kita, tak semestinya umum (calon Ketua Menteri) awal, tetapi tak umum langsung pun tak boleh.

“Semestinya ada calon daripada PN. Ramai yang layak menjadi Ketua Menteri (daripada PN), jadi tiada masalah pada kita,” katanya.

Pada waktu ini BN telahpun menamakan calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Lendu  Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menjawat jawatan itu sebelum ini sebagai Ketua Menteri Melaka manakala PH juga bersetuju menamakan semula bekas Ketua Menteri yang juga calon Dun Bukit Katil, Adly Zahari. -SM

(Visited 125 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button