fbpx
PolitikPRK

Rasmi: Calon BN menang bergaya di PRK DUN Chini peroleh 13,872 undi

CALON Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain diumumkan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Chini.

Kemenangan Mohd. Sharim diisytiharkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK DUN Chini, Datuk Zaliza Zulkipli di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan sebentar tadi.

Mohd. Sharim memperoleh 13,872 undi mengatasi dua calon Bebas iaitu Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin (1,222 undi) dan Mohd Shukri Mohd Ramli (137 undi).

Mohd. Sharim menang dengan majoriti besar 12,650 undi selepas semua 67 kotak undi dikira. Undi yang ditolak adalah sebanyak 239.

Ini adalah kemenangan pertama Barisan Nasiona dalam pilihan raya selepas membentuk Kerajaan Persekutuan dengan gabungan parti lain dalam Perikatan Nasional pada Mac lalu.


Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, penyandang kerusi itu Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun dari Barisan Nasional menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian Abu Bakar 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11.

Beliau menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button