Politik

Hasnal Rezua janji bangunkan usahawan tani di Kuang

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican berjanji akan mewujudkan program usahawan tani kepada penduduk di DUN ini jika diberi mandat menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Ketua UMNO Bahagian Selayang itu berkata, beliau akan mencari jalan untuk memohon tanah rezab kerajaan yang terbiar untuk penduduk di sini boleh mengusahakan pelbagai jenis tanaman.

Beliau yang juga seorang peguam bela dan peguam cara menambah banyak tanah rezab kerajaan di Kuang yang digazetkan untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan rel keretapi tidak digunakan.

“Mewujudkan program usahawan tani kepada penduduk Kuang adalah cita-cita saya dan janji khusus untuk penduduk di sini jika mereka memberi mandat kepada saya sebagai wakil rakyat baharu.

“Saya ingin melihat cara bagaimana tanah ini boleh dipohon sama ada diberi lesen pendudukan sementara (TOL) atau pajakan agar penduduk dapat menjalankan aktiviti pertanian,” kata Penasihat Undang-Undang BN.

Hasnal Rezua Merican calon baharu yang diketengahkan oleh BN akan berdepan saingan tiga penjuru iaitu penyandang Sallehuddin Amiruddin (Bebas) dan Mohd Rafiq Mohd. Abdullah (Perikatan Nasional).

Beliau yang juga Pesuruhjaya Suhakam berkata, mahu menggandingkan usahawan tani dengan pengusaha produk dalam projek penanaman bagi memastikan keterjaminan bekalan.

“Misalnya penanaman cili dan ubi, kita mahu gandingkan dengan pengusaha yang memerlukan produk berkaitan seperti sos serta kerepek,” katanya.

Selain itu katanya, beliau berjanji untuk Klinik Kesihatan Kuang yang sedia ada dibina baharu bagi keselesaan penduduk di sini.

“Saya lihat klinik sedia ada terlalu sempit dan saya akan tangani masalah ini jika rakyat memberi mandat kepada saya sebagai wakil rakyat baharu,” ujarnya. – SM

(Visited 160 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button