fbpx
Nasional

Caj gunting rambut berbeza, tak munasabah 633 pemilik kedai kena notis

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan 633 notis kepada pemilik kedai gunting rambut sepanjang Ops Catut 7.0 yang bermula 10 Jun lalu.

Timbalan Menterinya, Rosol Wahid berkata notis itu dikeluarkan bagi mendapatkan penjelasan dan maklum balas daripada pemilik berhubung kenaikan caj perkhidmatan gunting rambut dan perkhidmatan lain.

Beliau berkata, pengusaha atau pemilik kedai terbabit diberi masa 3 hingga 5 hari untuk memberi maklumat atau penjelasan dan kompaun akan dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 jika gagal berbuat demikian.

“Setakat ini, kita telah jalankan pemeriksaan di 369 premis di seluruh negara dan rata-ratanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

“Bagaimanapun, kita terpaksa mengeluarkan notis kepada pemilik premis yang didapati mengenakan caj harga berbeza-beza dan tidak munasabah,” katanya selepas meninjau harga dan bekalan barangan di Pasar Raya Pacific di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) hari ini.


Sebelum itu, beliau yang diiringi Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia melawat sebuah kedai gunting rambut di sini bagi melihat pematuhan harga dan SOP ketika PKPP.

Rosol menasihatkan pengguna merujuk harga barangan di aplikasi “Price Catcher” yang dibangunkan KPDNHEP sebelum membuat pembelian, terutamanya barangan kawalan.

Ini kerana terdapat laporan kenaikan harga ayam yang mendadak sehingga mencapai RM10 sekilogram di beberapa pasar basah ketika PKPP.

“Sebelum buat pembelian, kita boleh guna aplikasi ‘Price Catcher’ sebagai rujukan atau ‘tanda aras’ bagi mengelak membeli pada harga terlampau tinggi dan tidak munasabah.

“Jika kita lihat di aplikasi tersebut, harga ayam di pasar raya seperti Pasar Raya Besar Mydin, Giant dan Pacific antara RM7.50 sekilogram dan ia tidak melebihi harga kawalan ditetapkan.”

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tetap akan menjalankan pemeriksaan di pasar basah bagi melihat jika berlaku kenaikan harga ayam secara mendadak seperti didakwa.

“Setakat ini, kita belum menerima laporan atau aduan secara rasmi berhubung kenaikan berkenaan, tetapi pemantauan akan dipertingkatkan bagi mengelak peniaga mengaut keuntungan berlebihan sehingga menganiaya pengguna,” katanya.-BERNAMA

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button