Analisis

Cadangan tambah umur persaraan disokong demi fleksibiliti dan keperluan

CADANGAN oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Seri Azalina Othman Said, untuk menambah had umur persaraan wajar disambut baik dan dilihat dari pelbagai sudut kepentingan nasional dan kebajikan penjawat awam.

Penambahan umur persaraan tidak seharusnya dilihat sebagai paksaan kepada semua anggota perkhidmatan awam untuk bekerja lebih lama, sebaliknya ia perlu difahami sebagai satu bentuk pilihan fleksibel – sama ada untuk bersara mengikut umur semasa atau melanjutkan tempoh perkhidmatan atas dasar keperluan dan kesediaan individu.

Malah, trend semasa menunjukkan ramai pegawai kanan di peringkat turus dilantik semula secara kontrak selepas bersara kerana negara masih memerlukan kepakaran dan pengalaman mereka. Perkara ini sepatutnya boleh diperluas ke pelbagai jawatan lain, bergantung kepada prestasi dan bidang keperluan.

Selain itu, realiti semasa juga memperlihatkan ramai penjawat awam masih mempunyai tanggungan keluarga, termasuk anak-anak yang masih belajar dan komitmen kewangan jangka panjang. Justeru, peluang untuk terus berkhidmat memberi mereka ruang memperkukuh kestabilan kewangan dan merancang persaraan dengan lebih tersusun.

Walau bagaimanapun, dalam melaksanakan cadangan ini, kerajaan juga perlu mengekalkan ruang untuk persaraan awal secara sukarela bagi mereka yang mungkin tidak lagi berminat untuk menyambung khidmat atau ingin beralih ke bidang lain.

Pendekatan ini akan memberi manfaat dua hala – negara dapat mengekalkan tenaga kerja berpengalaman yang masih berdaya saing, sementara individu pula mempunyai pilihan bersara berdasarkan keperluan dan kesiapsiagaan masing-masing.

Kerajaan disaran mempertimbangkan cadangan ini secara holistik, dengan mendengar pandangan pelbagai pihak, termasuk kesatuan sekerja, ahli akademik dan pengurusan sumber manusia – demi memastikan sebarang pelaksanaan nanti berjalan lancar, adil dan berkualiti.

Oleh Halmey Hamdah
Nota: Suka berikan padangan kecil tetapi akhirnya besar

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button