BeritaNasional

Cadangan penjenamaan semula MED dibentang dalam mesyuarat kabinet esok

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan (MED) akan membentangkan cadangan penjenamaan semula​ kementerian itu pada mesyuarat kabinet esok, dengan memasukkan perkataan ‘koperasi’ dalam nama kementerian itu.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata ia adalah penting selepas mendapat maklum balas dari gerakan koperasi, memandangkan koperasi juga merupakan jentera yang menggerakkan ekonomi negara.

“Jika dipersetujui, (nama kementerian) akan ditukar serta merta, insya Allah bulan ini. Ikut keputusan jemaah kabinet nanti.

“Selepas ini ia akan dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Ke Arah Kemakmuran Bersama dan Lima Teras Strategik Institut Koperasi Malaysia (IKM) di sini hari ini.

Mohd Redzuan berkata, sudah tiba masanya penjenamaan tersebut dilakukan, berikutan terdapat permintaan daripada ahli koperasi yang kini berjumlah 6.1 juta ahli di bawah 14,237 gerakan koperasi di seluruh negara.

“Justifikasi penjenamaan ini adalah kerana ramai orang bertanya di mana letaknya koperasi dan mereka rasa (penjenamaan) ini sangat efektif kepada mereka (ahli dan penggerak koperasi) dan saya bersetuju dengan penjenamaan ini.

“Ini juga akan memberikan mereka ‘visibility’ dan seterusnya rangsangan malah lebih relevan menjadi penyumbang dalam sudut perniagaan kecil dan sederhana (SME),” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah IKM Ariffin Mamat berkata program Ke Arah Kemakmuran Bersama dan Lima Teras Strategik IKM, adalah inisiatif baharu untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan berkaitan koperasi kepada Gerakan Koperasi di lapangan, selain menawarkan perkhidmatan latihan kepada koperasi.

Katanya, program itu juga selari dengan pendekatan baharu MED untuk turun padang, mendekati kumpulan sasar dan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Dasar Keusahawan Nasional 2030 dan IKM menyasarkan 20 lokasi di seluruh negara bagi melaksanakan program turun padang dan latihan berkenaan.

“Mulai tahun ini penyediaan program latihan di IKM dibuat secara bersasar dan lebih fokus, dengan mengenal pasti ´hasil´ yang diharapkan dari setiap penganjuran latihan yang dirancang.

“Ini termasuklah mengadakan kerjasama dengan Bank Rakyat‹ yang telah menyediakan dana berjumlah RM100 juta, untuk tujuan ini di bawah program Million Ringgit Coop League (MiRiCLe) yang diterajui IKM,” jelasnya.-  BERNAMA

(Visited 136 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button