Ekonomi

MDEC bantu tingkat kesedaran pemasaran tular dalam kalangan PKS

PEMASARAN digital kini dilihat sebagai kaedah paling efektif untuk memasarkan produk mahupun perkhidmatan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya ketika negara sedang beralih ke fasa endemik.

Teknologi digital telah membuka peluang perniagaan kepada sesiapa dan di mana sahaja. Oleh itu, penyampaian maklumat dianggap penting dengan tujuan mengekalkan daya saing dan mewujudkan permintaan secara mampan.

Pandemik COVID-19 yang melanda tahun lalu mempercepatkan lagi proses adaptasi digital di kalangan PKS tempatan khususnya dalam pemasaran digital menerusi platform media sosial.

Pemasaran melalui video tular di media sosial telah menjadi trend di kalangan PKS untuk mempromosikan produk ataupun jenama mereka dengan pantas dan menembusi lebih ramai lapisan masyarakat.

Menyedari kepentingan pemasaran digital di kalangan PKS ini, Malaysia Digital Economy Corporation
(MDEC), agensi peneraju ekonomi digital, telah menganjurkan Kelas Mingguan #SayaDigital secara percuma kepada rakyat menerusi siaran langsung di Facebook MDEC pada setiap hari Jumaat, pukul 8.45 malam.

Baru-baru ini, Kelas Mingguan #SayaDigital telah mengupas mengenai penggunaan pemasaran tular yang melibatkan usahawan burger terkenal menerusi jenama Smashed Burger dan BurgerBoy yang telah tular di media sosial semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.

Pemilik Smashed Burger, Muhammed Naeem Md Nassir telah tular di media sosial tahun lalu berikutan latar belakang beliau yang sebelum ini merupakan seorang juruterbang profesional, telah terjun ke dunia perniagaan burger jalanan disebabkan pandemik.
Muhammed Naeem berkata, pada zaman sekarang untuk melakukan pemasaran tular di media sosial amat  mudah kerana pelbagai platform boleh dimanfaatkan, namun untuk berjaya dan memberi impak yang berkesan, PKS perlu mempunyai kandungan yang menarik dan unik.

“Kita perlu tahu apa keunikan dan kelebihan yang kita ada berbanding perniagaan yang sama di pasaran. Kandungan boleh hadir dalam bentuk cerita kita sendiri atau cerita keunikan produk yang kita jual.

“Selain latar belakang saya yang unik, saya juga mengetengahkan burger bercita rasakan negara Oman. Saya tidak sangka hantaran pertama saya di Instagram menjadi tular selepas dikongsi oleh seorang selebriti di Twitter,” kata beliau yang kini beroperasi Bukit Jelutong, Selangor.

Sementara itu, pemilik BurgerBoy, Mohd Kosim Ismail berkata, pada asalnya beliau hanya berniat untuk bersedekah 150 burger percuma setiap hari kepada orang ramai serta barisan hadapan dan tidak sangka ia telah menjadi tular di media sosial.

“Sebenarnya perniagaan saya terjejas teruk semasa PKP dan terpaksa mengambil inisiatif untuk menjalankan operasi di dalam rumah dan menggunakan media sosial sebagai platform pemasaran.

“Ketika itu saya mula teringat pesan ayah yang menggalakkan bersedekah untuk memurahkan rezeki kita. Oleh itu, saya buat kempen burger percuma berkenaan dan ia telah mendapat perhatian orang ramai,” jelas Mohd Kosim.

Beliau juga telah memperkenalkan inisiatif untuk menyediakan ruang penjualan produk kepada 30 orang usahawan kecil di lokasi perniagaannya secara percuma dengan tujuan membantu mereka untuk terus bertahan sepanjang tempoh yang mencabar ketika ini.

Dalam sesi perkongsian berkenaan kedua-dua usahawan ini bersetuju bahawa pembangunan kandungan perlu berkonsepkan pemasaran baik (good marketing) dan bukannya pemasaran negatif (bad marketing) kerana ia akan menggambarkan kualiti perkhidmatan dan produk sesebuah jenama itu serta memberi impak kurang baik kepada jenama untuk jangka masa panjang.

Sementara itu, berdasarkan pengalamannya sebelum ini, Muhammed Naeem turut menekankan bahawa PKS perlu menilai operasi semasa dan membuat persediaan awal sebelum merancang untuk melakukan pemasaran tular.

“Jika berjaya, pemasaran tular akan memberi impak yang cukup besar dan kita akan dapat melihat gelombang besar kehadiran pelanggan dalam masa yang singkat. Walaupun perkara ini baik, jika kita tidak bersedia, ia akan menjadi masalah besar kepada kita.

“Apabila permintaan meningkat dengan mendadak, kita akan berdepan dengan cabaran untuk mengekalkan kualiti perkhidmatan dan produk seperti sebelum ini. Kegagalan menanganinya akan menyebabkan kita kehilangan pelanggan setia,” jelasnya.

Secara keseluruhan, impak pemasaran tular telah membantu meningkatkan jualan dan kapasiti pengeluaran Smashed Burger dan BurgerBoy, dan ini boleh dijadikan contoh kepada PKS yang lain untuk memanfaatkan kelebihan teknologi digital sepenuhnya dan ia perlu dilakukan sekarang.

PKS perlu proaktif dalam menimba pengetahuan dan kemahiran digital sama ada secara formal atau pun menerusi pelbagai saluran percuma seperti yang ditawarkan dalam Kelas Mingguan #SayaDigital anjuran MDEC, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia iaitu untuk memulihkan dan meningkatkan ekonomi rakyat secara inklusif.

Bagi menonton video penuh sesi perkongsian Smashed Burger dan BurgerBoy atau pelbagai lagi sesi Kelas Mingguan #SayaDigital, layari Facebook MDEC di https://www.facebook.com/MyMDEC dan pelbagai inisiatif khusus untuk PKS di bawah kempen #SayaDigital di https://mdec.my/.

(Visited 178 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button