Nasional

Cadangan Kursi Kewartawanan Utusan Melayu

SUBANG JAYA – Forum Kenangan Utusan Melayu yang diadakan hari ini di Subang Jaya disambut dalam suasana penuh mesra dan kekeluargaan oleh bekas pekerja Kumpulan Utusan, bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) dan ulang tahun penerbitan sulung akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Forum julung kali itu dirasmikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar, yang pernah menerajui Kumpulan Utusan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan. Turut hadir dua bekas Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Noordin Abbas dan Datuk Mohd Nasir Ali, serta Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Ainol Amriz Ismail.

Majlis anjuran portal KitaReporters dengan sokongan MPI ini bertujuan mengenang jasa dan peranan Utusan Melayu dalam merakam serta menyumbang kepada sejarah kewartawanan dan perjuangan bangsa Melayu di tanah air.

“Utusan Melayu bukan sekadar pelaporan, tetapi ia adalah jiwa dan kehidupan saya.”

– Tan Sri Johan Jaaffar

Pengarang KitaReporters, Gamal Nasir Mohd Ali, menyatakan bahawa tidak ramai yang mengetahui tarikh sambutan HAWANA itu sendiri diambil sempena penerbitan sulung Utusan Melayu, yang memperlihatkan signifikannya akhbar tersebut dalam sejarah persuratkhabaran negara.

Ainol Amriz pula menyeru agar sejarah Utusan Melayu didokumentasi dan dijadikan rujukan akademik dalam bidang seperti sejarah media, komunikasi politik dan sastera moden.

“Kita masih memiliki saksi hidup. Wartawan, penyunting dan pelukis editorial yang bukan sahaja menyimpan memori, tetapi juga metodologi dan semangat perjuangan wartawan sebenar.”

– Ainol Amriz Ismail

Beliau mencadangkan agar satu pusat dokumentasi khusus untuk Utusan Melayu diwujudkan, termasuk cadangan menubuhkan Kursi Kewartawanan Utusan Melayu di institusi pengajian tinggi bagi mengangkat warisan media Melayu ini ke peringkat akademik dan nasional.

Untuk rekod, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad ditubuhkan pada 1938 di Singapura sebagai Utusan Press Ltd, dan menjadi pelopor akhbar tulisan Jawi sehingga operasi syarikatnya digulung secara sukarela pada tahun 2019.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button