Nasional

Penjawat awam: Rasalah hidup tanpa pencen selepas ini

Skim Pencen akan dimansuhkan oleh Kerajaan

SELURUH penjawat awam yang terlibat dalam isu skim pencen akan dimansuhkan, satu keputusan bijak yang dibuat oleh Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu terkejut beruk atau terkebil-kebil biji mata.

Keputusan Kerajaan ada rasional di sebaliknya dan sebagai penjawat awam yang telah mengangkat sumpah setia perkhidmatan dalam jawatan, harus berlapang dada dan terima segala keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan kelak.

Bagi parti-parti politik tanah air termasuk PUTRA, ini adalah isu yang menarik untuk menangguk di air keruh. Masing-masing ada pandangan sendiri tetapi keputusan terletak di tangan pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negara.

Naib Presiden PUTRA yang juga merangkap Pengerusi Biro Pertanian, Membasmi Kemiskinan dan Aduan Awam, Datuk Asmawar Samat

Naib Presiden merangkap Pengerusi Biro Pertanian, Membasmi Kemiskinan dan Aduan Awam PUTRA Malaysia, Dato’ Asmawar Samat mempunyai pandangan tersendiri dalam isu ini.

Berikut adalah catatan beliau yang mahu diuar-uarkan dalam SUARA MERDEKA.

Skim Pencen (Akta Pencen 1980 (Akta 227)) untuk lantikan baharu Penjawat Awam dan politik (Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 287)) dikatakan akan dimansuhkan mulai 1 Februari 2024. Ramai pihak yang terkedu tak terkata, antara percaya dengan tidak percaya.

Alasan yang kita dengar adalah negara terbeban berikutan hutang negara yang besar. Maka, Skim Berpencen sedia ada pun dianggap sebagai membebankan untuk diteruskan.

Semua penerima pencen menjadi terpinga-pinga dan lidah menjadi kelu untuk berkata. Inilah hadiah tahun baru Naga yang bakal diterima, petanda akan kena telan sang Naga. Rupanya sang Arnab yang melompat-lompat pada tahun lalu telah menjadi haiwan pemakan yang lahap. Kalau dah jadi pemangsa, maka akan tetap mencari mangsanya.

Apapun, perilaku pemerintah nampaknya agak kurang disenangi. Wajarkah kenyataan sedemikian dikeluarkan ke atas perkara fundamental yang mana kajian pihak jabatan masih sedang dijalan. Umum wajar diberi maklum apakah hasil kajian komprehensif dan syor-syor yang dikemukakan ke atas skim pencen ini.

Skim pencen telah lama dilaksanakan untuk perkhidmatan awam iaitu sejak Merdeka pada tahun 1957. Skim telah melalui evolusi dan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Selain Skim Berpencen, telah diperkenalkan Skim KWSP atau EPF sebagai pilihan.

Kedua-dua skim adalah untuk menabung bagi persediaan seseorang penjawat awam atau politik itu di hari tua.  Setiap bulan, sebahagian gaji penjawat awam akan dimasukkan ke Akaun Disatukan (KWAP) sebagai simpanan dan pelaburan. Timbul persoalan, apakah penjawat politik turut menabung?

Rata-rata para penjawat awam merasa selesa dan terjamin melalui skim sedia ada. Bagaimanapun, skim untuk penjawat awam ini agak berbeza dengan skim pencen untuk orang politik di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 287) yang dikatakan agak mewah dan tinggi kerana boleh menerima pencen sebanyak jawatan disandang hingga mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.

YAB Perdana Menteri nampak agak keliru dan tidak dapat membezakan antara skim pencen untuk penjawat awam berbanding skim pencen untuk lantikan politik. Skim untuk penjawat awam sudah teratur dari segi punca kuasa dan prosedurnya, berbanding skim politik yang dilihat sebagai luar biasa dan tidak munasabah untuk individu tertentu yang menjadi istimewa.

Parti PUTRA berpandangan agar pihak kerajaan membuat kenyataan rasmi mengenainya setelah hasil kajian komprehensif yang sedang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dikeluarkan. Diharapkan, kajian ke atas Skim Pencen Politik juga dijalankan.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ringkas adalah tidak mencukupi dan memuaskan hati banyak pihak. Beliau sekadar berkata, bagi penjawat awam sedia ada, status pencen mereka tidak terjejas sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sesungguhnya, pencen yang diterima melalui JPA atau KWSP sangat membantu pesara dalam menempuh kos sara hidup yang semakin menghimpit. Skim juga dapat menghalang mereka daripada menjadi boros dan menjadi mangsa peminjam serta skim penipuan (scammers). Tambahan pula sekarang ini, para penipu telah menjadikan orang tua berpencen, atas faktor kelemahan naluri dan usia, sebagai sasaran utama mereka.

Bagi pihak pemerintah pula, dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin tidak menentu, rakyat umum pun tahu bahawa sumber kewangan dalam tabung KWAP menjadi intaian pihak kerajaan untuk dijadikan penyelamat ketika situasi kewangan menjadi sukar.

Disyorkan agar pihak kerajaan perlu menghormati dan menimbang ke atas formula substantif berkaitan kenaikan kadar pencen tahunan agar Skim Pencen penjawat awam menjadi mantap. Pihak Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan Kerajaan terhadap kes saman penjawat awam Puan Aminah dan 56 orang pesara Awam lawan Kerajaan tentang kadar kenaikan tahunan pencen sebanyak 2%.

Jika pencen tidak boleh dinaikan 2%, maka pilihannya ianya perlu dinaikan mengikut kenaikan gaji semasa penjawat awam.

Tambahan, apabila orang berpencen melihat penyata pencen mereka untuk bulan Januari 2024 yang sudah tiada kenaikan, mereka masih reda dengan takdir dan berdoa agar situasi ekonomi segera pulih semula.

Maka sekarang adalah masanya untuk semua pihak bersatu padu untuk memulihkan kedudukan ekonomi, bukannya bercakaran yang memudaratkan dan mematikan. Metadologi ‘win-win situation’ perlulah diutamakan agar urus tadbir negara menjadi mantap dan efisien.

PENDIRIAN PUTRA, PENCEN UNTUK PENJAWAT AWAM MESTI DIKEKALKAN SEPERTI BIASA. JIKA HENDAK DIMANSUH PENCEN UNTUK YANG BAHARU BERKHIDMAT, CADANGAN CUEPACS BARU-BARU INI SUPAYA DINAIKKAN GAJI WAJAR DIPERTIMBANGKAN.

APAPUN, YANG WAJIB DIMANSUHKAN DAN PUTRA MENYOKONG SARANAN YAB PERDANA MENTERI YANG MANA PENCEN UNTUK ORANG-ORANG POLITIK HANYA SATU SAHAJA. SEBERAPA BANYAK JAWATAN YANG DIPEGANG, PENCEN HANYA DIAMBIL YANG PALING TINGGI DAN SATU SAHAJA.

LAIN-LAIN IMBUHAN BAGI AHLI POLITIK JUGA PERLU DIKAJI SEMULA KEPADA HAL YANG MUNASABAH. INI KERANA ELAUN LAIN-LAIN YANG TERSEMBUNYI AMAT BESAR SEKALI.

PUTRA TURUT MENCADANGKAN TAHAP ELAUN AHLI POLITIK SAMA TARAF DENGAN JUSA C. TIDAK PERLU IMBUHAN YANG TIDAK PENTING SEPERTI ELAUN PEMBANTU RUMAH, DOBI, PEMANDU DAN LAIN-LAIN LAGI. – SM

BACA Kadar pencen hilang upaya masih lapuk, ikut kadar tahun 2000 – PVATM

BACA Kerajaan didesak kaji semula gaji, elaun, pencen ahli politik dalam kerajaan

(Visited 109 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button