EkonomiRencana

Cabaran melahirkan tenaga mahir baru era Covid-19

oleh DATUK IR. (DR.) GUNTOR TOBENG

MENGENAL pasti bakat dalam pasaran pekerjaan merupakan salah satu cabaran bagi merancakkan pertumbuhan produktiviti negara.

Isu-isu utama dalam meningkatkan produktivi termasuk tenaga kerja tidak dapat memenuhi keperluan ekonomi semasa dan akan datang, ketidak sediaan graduan untuk memasuki pasaran kerja selepas tamat pengajian dan ketidakpadanan bakat, ilmu dan kemahiran dengan keperluan industri.

Pandemik Covid-19 memburukkan lagi situasi apabila impak yang ditimbulkan hampir dua tahun itu menunjukkan bahawa tenaga kerja tidak dapat menangani perubahan pantas yang ditimbulkan oleh virus maut itu.

Justeru, jalan penyelesaian bagi menangani masalah bakat dalam pasaran kerja yang memberikan impak kepada pertumbuhan produktiviti perlu diteliti dengan segera kerana ia boleh memberikan kesan buruk terhadap kualiti hidup rakyat dan kemakmuran negara.

Majlis Perundingan Melayu (MPM) mendapati isu dan cabaran dalam pasaran kerja melibatkan hampir semua sektor dan yang paling terkesan akibat Covid-19 adalah sektor pembuatan dan perkhidmatan.


Bagi graduan yang baru keluar daripada universiti dan sukar mendapat pekerjaan ketika ini, teringat nasihat seorang sahabat, kalau hendak menunggu  bas, jangan tunggu di hentian yang tidak dilalui bas. Tunggulah di perhentian yang ada bas lalu.

Begitu juga  dengan mencari pekerjaan, kalau anda graduan dalam bidang kejuruteraan carilah kerja di tempat yang menawarkan peluang barulah kita mendapat tawaran yang baik. Tapi kalau ada kelulusan kejuruteraan namun duduk di kampung, sudah tentu sukar untuk mendapatkan kerja di kawasan tersebut.

Mungkin ada yang merungut mengenai gaji yang ditawarkan adalah rendah kerana ekonomi sedang merosot.

Ketika mula-mula bekerja dengan syarikat Philip, saya pergi kerja dengan memakai tali leher tetapi gaji saya lebih kecil daripada kerani. Beliau menerima RM1,500 sedangkan saya hanya mendapat RM800 sebulan.

Sebenarnya, dalam kerjaya profesional, mendapat ijazah bukan satu penamat untuk belajar. Sebaliknya ia adalah satu permulaan. Kita kena terus belajar, ambil peperiksaan profesional, timba lebih banyak pengalaman, sertai persatuan profesional. Selepas tiga tahun gaji saya meningkat empat kali ganda.

Dari segi pembentukan bakat, sememangnya seseorang terpaksa melalui jalan pembelajaran secara berterusan. Tidak betul jika berfikir apabila sudah graduan bermakna sudah habis belajar. Yang penting jangan putus atas, jangan kecil hati, jangan kecewa dengan keadaan yang berlaku hari ini.

Bakat pekerjaan memerlukan kebolehan, pengetahuan, kemahiran insaniah dan kemahiran teknikal.

Seseorang juga perlu mempunyai kemahiran komunikasi dan kemahiran penyelesaian masalah yang kompleks, kemahiran sosial, pemikiran kritis dan analitik, inovasi, kreativiti, bakat kepimpinan, penggunaan teknologi, daya tahan, kebolehan tangani tekanan dan fleksibiliti untuk berjaya.

Selain itu, pihak industri dan sektor swasta juga mempunyai peranan penting dalam menangani isu dan cabaran membangunkan bakat dan pasaran kerja masa hadapan.

Justeru, dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kerajaan telah meletakkan tanggungjawab besar kepada industri dan sektor swasta untuk pemulihan dan pembangunan semula ekonomi negara termasuk berkaitan pembangunan bakat dan menyediakan tenaga kerja pada masa hadapan.

Sektor swasta boleh menyediakan latihan berkaitan keperluan syarikat dan industri.  Ketika ini memberikan latihan kepada pekerja tidak murah tetapi pihak syarikat masih perlu menghantar pekerja menjalani kursus bagi meningkatkan kemahiran mereka.

Syarikat juga boleh memberi peluang kepada pekerja dengan berkongsi keuntungan dengan pekerja melalui sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti (PLWS).

Sekiranya pekerja membuat kertas cadangan, menghasilkan rekaan, mencipta perisian yang boleh dijual maka mereka boleh diberikan sedikit keuntungan sebagai ganjaran terhadap hasil kerja yang baik.

Sumber manusia merupakan aset penting dalam pertumbuhan produktiviti sesebuah organisasi. Walau apa juga pendemik yang mendatang, tenaga kerja yang berkualiti, berkemahiran dan berpendidikan akan meningkatkan produktiviti syarikat dan seterusnya memberi impak prestasi pembangunan ekonomi negara yang pesat dan seterusnya memberi kemakmuran serta kesejahtaeraan rakyat.

Datuk Ir (Dr) Guntor Tobeng merupakan Ahli Majlis Perundingan Melayu (MPM). Beliau juga Pengarah Urusan Gading Kencana dan Profesor Adjung Fakulti Sains dan Matematik (FSM) Universiti Pendidikan Sultan Idris.

(Visited 187 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button