Nasional

UPSI Berjaya Rangkul 4 Emas, 4 Perak di ITEX 2023

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya merangkul empat pingat emas dan empat pingat perak di Pameran Reka Cipta, Inovasi & Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2023 yang telah berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 11-12 Mei 2023.

ITEX yang dianjurkan oleh Persatuan Reka Cipta dan Reka Bentuk Malaysia (MINDS) dan CIS selaku penganjur bersama merupakan acara tahunan berprestif yang menghimpunkan peserta dari pelbagai negara untuk mengetengahkan inovasi mereka di peringkat global.

Selain UPSI, ITEX 2023 yang dilancarkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang itu menghimpunkan pempamer dari 17 negara untuk mempamerkan lebih 700 produk dan teknologi inovatif.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar berkata UPSI mempamerkan inovasi dan teknologi terkini dalam pelbagai bidang profesional terutama dalam bidang pendidikan yang meliputi pendidikan awal kanak-kanak sehingga peringkat pengajian tinggi.

Penyelidik UPSI yang menerima Anugerah ITEX 2023 yang disampaikan oleh Tan Sri Dr. Augustine Ong, Presiden MINDS dan Penganjur ITEX 2023 (tengah).

Selain sains sosial, katanya, UPSI juga mengetengahkan inovasi nano teknologi dan bioteknologi dalam ITEX kali ini.

Beliau berkata empat pingat emas yang diraih UPSI adalah inovasi terbaik yang dibangunkan oleh barisan penyelidik yang komited dan berdedikasi tinggi iaitu “Multi Branch School Management System” oleh Prof Madya Dr. Ashardi Abas dari Fakulti Komputeran dan Meta-teknologi (FKMT), “MechaRoboKidz 2.0” oleh Dr. Romarzila Omar dari Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), “Modul Interaktif Realiti Maya Apresiasi Muzik Sekolah Menengah (e-MARZ)” oleh Dr. Abdul Rahman Safian dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), serta penyelidikan “EasySeni: Borderless Hybrid Learning Module” oleh Lee Hoi Yeh dari Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK).

Selain itu, katanya, empat pingat perak yang diraih adalah inovasi “Problem Solving Oriented E-Module in Learning Audio Video Techniques via Facebook (PSOMODULE)” oleh Dr. Noor Hidayah Che Lah(FKMT), “Biogenic Nano Hydroxyapatite for Tooth Paste” oleh Prof. Ts. Dr. Ismail Zainol, “TAKTIK” oleh Prof Madya Dr. Mazlini Adnan, dan “DNA-based Marker for Identification of Herbal Plants for Product Authentication” oleh Dr. Azi Azeyanty Jamaludin dari Fakulti Sains dan Matematik (FSM).

Inovasi “MechaRoboKidz 2.0” berjaya meraih pingat emas.

Menurut beliau projek MechaRoboKidz 2.0 antara inovasi yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelawat ITEX di ruang pameran UPSI berikutan berbentuk modul pemikiran robotik dan pemikiran komputasional yang menggunakan teknologi dalam pembelajaran kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun di prasekolah, tadika dan taska.

“Produk ini menggunakan ‘3D printed’ bagi menghasilkan robot yang menarik seperti jongkang-jongket, kereta sorong kanak-kanak, kincir angin, lastik, kereta kebal dan sebagainya, malah setiap robot berperanan untuk membolehkan kanak-kanak menguasai kurikulum STEM seperti daya, alam fizikal, kemahiran proses sains dan teknologi,” katanya.

Antara ruang pameran UPSI yang mendapat sambutan pengunjung.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), UPSI, Prof. Madya Dr. Rosmilah Misnan berkata, UPSI berbangga kerana sekali lagi dapat meneruskan tradisi kecemerlangan dalam penyelidikan dan inovasi dengan memenangi pingat bagi kesemua lapan inovasi yang dipertandingkan di ITEX 2023. -SM

BACA JUGA : UPSI, UniSZA, bersama universiti ternama daulatkan Bahasa Melayu di London

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button