Politik

Cabar sekolah vernakular jejaskan perpaduan, keharmonian negara – Guan Eng

DAP menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan mencabar kesahihan sekolah vernakular di mahkamah bagi mengisytiharkan sekolah berkenaan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Selepas 62 tahun lalu sejak Merdeka pada tahun 1957, kewujudan sekolah Cina dan Tamil tidak pernah dipersoalkan dan menerima pembiayaan awam.

“Buat kali pertama dalam sejarah, tindakan undang-undang difailkan dengan menamakan Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan, memohon pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah vernakular Cina dan Tamil melanggar Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“DAP melihat ini sebagai satu perkembangan yang berbahaya yang bukan sahaja boleh mengancam kewujudan sekolah Tamil dan sekolah-sekolah Cina, tetapi juga menjejaskan perpaduan negara dan keharmonian masyarakat berbilang kaum,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Memetik laporan Malaysiakini hari ini, Guang Eng berkata DAP akan mempertahankan bersungguh-sungguh hak perlembagaan untuk mewujudkan sekolah Cina dan Tamil, dengan membawa isu itu dalam mesyuarat kabinet esok.

Beliau juga berkata kerajaan mesti mengarahkan peguam negara membantah perkara itu.

“Pada masa yang sama, DAP juga akan berusaha untuk campur tangan secara sah dalam saman itu bagi pihak sekolah vernakular dan telah mengarahkan Pengerusi Biro Undang-undang DAP dan Anggota Parlimen Bukit Glugor Ramkarpal Singh untuk menyediakan wakil perundangan,” katanya.

Saman berkenaan difailkan peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz hari ini.

Beliau memohon satu pengisytiharan bahawa Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996, yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah Cina dan Tamil, tidak konsisten dengan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.

(Visited 160 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button