Nasional

Raja Muda Perlis titah rakyat sertai program vaksin imunisasi Covid-19

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa ‘Program Imunisasi Covid-19 negeri Perlis’ mampu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, terutamanya dalam mengurangkan risiko jangkitan teruk yang memerlukan kemasukan ke hospital.

Malah, rakyat Perlis akan lebih selamat, terutama kepada yang tidak dapat menerima vaksin disebabkan masalah kesihatan dan kanak-kanak apabila sekurang-kurangnya 80% rakyat dewasa negeri ini menerima vaksin menjelang Februari 2022 dan membentuk imuniti kelompok.

‘Bayangkan, rakyat Perlis yang berpayung (divaksin) melindungi rakyat Perlis yang tidak berpayung (tidak dapat menerima vaksin seperti kanak-kanak dan mereka yang tidak cukup sihat untuk divaksin) daripada hujan (iaitu penyakit Covid-19).

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut menambah bahawa baginda dipersembahmaklumkan bahawa vaksin Covid-19 akan merangsang sistem daya lawan jangkitan tubuh dan membentuk imuniti terhadap jangkitan Covid-19.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat merasmikan Projek Peningkatan Sosio-ekonomi Asnaf MAIPs berupa sebuah gerai makan yang diusahakan oleh Mohamad Kamal Ali, 63 tahun (Nombor telefon 0124575481) di 333, KM 4 Jalan Santan, Kangar dan telah pernah menerima bantuan MAIPs untuk membeli peralatan perniagaan bernilai RM3,080 pada bulan Ogos 2020 yang lalu.

Majlis tersebut adalah bersempena ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki Dan Menyantuni Asnaf’ Bilangan Ke 8 bagi tahun 2021 yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Nurul Said, Santan, Perlis.

Tiga keluarga asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid berkenaan turut menerima bantuan sumbangan agihan zakat daripada MAIPs yang diserahkan sendiri oleh Tuanku Raja Muda yang diiringi sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor sepanjang kayuhan sejauh 9km tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim menerangkan bahawa vaksinasi Covid-19 adalah secara sukarela dan akan diberikan secara percuma kepada semua rakyat Perlis. Oleh itu, rakyat negeri ini adalah diseru agar mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di dewan-dewan yang dijadikan pusat pemberian vaksin yang akan dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri dari semasa ke semasa.

Tambah beliau lagi, Fasa 1 program ini mensasarkan 8,000 orang petugas barisan hadapan di negeri Perlis yang merangkumi petugas kesihatan kerajaan dan swasta serta petugas barisan hadapan bukan kesihatan seperti anggota ATM, PDRM, APM dan lain-lain lagi. Manakala Fasa 2 yang bermula April 2021, melibatkan 94,000 warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi yang mengalami penyakit kronik seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi serta orang kelainan upaya (OKU). Seterusnya Fasa 3 yang bermula Ogos 2021 adalah kepada rakyat Perlis berumur 18 tahun ke atas yang lain.

(Visited 120 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button